DAMSYIK - Majlis Nasional Syria (SNC) yang mewakili para pemberontak
mengeluarkan kenyataan balas bahawa pertempuran sengit yang berlaku di
beberapa buah bandar memberi petunjuk bahawa mereka kini di ambang
kemenangan.
Jurucakap SNC, George Sabra berkata, pertempuran sengit di sini dan
di bandar kedua terbesar di Syria, Allepo yang berlaku sejak beberapa
hari lalu merupakan petunjuk penting bagi menentukan kejayaan
pemberontak.
Penentangan penduduk terhadap Presiden Syria, Bashar Al-Assad telah bermula pada Mac tahun lalu.
Pertempuran dengan tentera Bashar sejak Mac 2011 itu telah menyebabkan lebih 19,000 orang terbunuh.
"Apa yang berlaku di sini dan Aleppo serta bandar lain di Syria sejak
dua hari lalu merupakan langkah penting bagi mewujudkan fasa baharu
untuk negara kami (Syria) dan rantau Arab," kata Sabra.
"Pertempuran ini menunjukkan dengan jelas bahawa rejim Bashar akan menemui jalan penamatnya," tambah Sabra. - Agensi