31 July 2012

Isteri hilang hampir seminggu

KOTA BHARU- Di saat insan lain bergembira dapat berbuka puasa bersama keluarga, seorang warga emas, Mat Noor Yusoff, berduka selepas isterinya menghilangkan diri hampir seminggu.

Mat Noor, 77, menyedari kehilangan Asiah Mat Lazim, 53,   selepas isterinya yang mengalami masalah mental keluar rumah sejak Rabu lalu dan tidak pulang sehingga semalam.

Mat Noor berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari dia pulang ke rumahnya yang terletak di Taman Seri, Jalan Sabak, Pengkalan Chepa dan ketika itu melihat isterinya kelam kabut memakai baju kurung berwarna hijau.

“Disebabkan keletihan saya terlelap dan setelah sedar dari tidur saya mendapati Asiah tiada di rumah. Dia keluar tanpa memberitahu saya.

“Saya bimbang keselamatannya kerana dia tidak sihat. Macam-macam boleh berlaku di luar sana, lagipun dengan keadaannya saya rasa dia tidak berupaya menguruskan dirinya,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian semalam.

Mat Noor berkata, sebelum ini isterinya pernah keluar rumah tanpa memberitahunya terlebih dahulu tetapi dia pulang semula dengan selamat.

“Sejak Rabu lalu, saya bersama anak-anak mencarinya di hospital dan kawasan sekitar tetapi gagal menemuinya dan kemudiannya kami membuat laporan polis berhubung kehilangannya itu,” katanya.

Mat Noor berharap, sesiapa melihat isterinya itu yang  mempunyai tanda tahi lalat di sebelah kiri pada mukanya dan berkulit cerah boleh menghubungi anaknya, Asri di talian, 019-9305020. - SH