KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) sedang mencari pendekatan terbaik untuk memastikan 1.4 juta
penjawat awam di seluruh negara mendapat imbuhan menjelang Aidilfitri.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mendapatkan pandangan
pihak tertentu berhubung perkara itu sebelum menyerahkannya kepada
pihak pentadbiran untuk diputuskan.
Beliau berkata Cuepacs tidak mahu setiap kali kongres itu membuat
sesuatu tuntutan terutama bonus, terdapat pihak tidak bertanggungjawab
mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.
"Kita (Cuepacs) sedang mencari ilham supaya perkara ini tak menyusahkan
kerajaan, peniaga dan pekerja, kita mahu satu pendekatan yang bijak,"
katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs
Bilangan 6 Sesi 2010-2013 di sini hari ini.
Mesyuarat dihadiri 130 orang anggota majlis. Ketua Setiausaha Negara
Datuk Seri Dr Ali Hamsa juga berkesempatan mengadakan dialog selepas
mesyuarat.
Selain itu Omar mengulangi pendirian mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
(SPA) menarik balik dua dasar baru yang diperkenalkan iaitu membenarkan
pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15
jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini.
Beliau berkata dasar itu perlu dibatalkan dan satu pendekatan yang
lebih berdaya saing diwujudkan untuk memantapkan perkhidmatan awam
negara.
Katanya keputusan Cuepacs berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.
Omar berkata beliau difahamkan terdapat 800 jawatan untuk peringkat SPM telah ditawarkan kepada pemegang ijazah sarjana muda.
Sementara itu Ali berkata pendekatan turun padang yang dilaksanakan
oleh beliau diharap dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan
awam.
Beliau berkata pendekatan tersebut lebih berkesan kerana dapat melihat
keadaan sebenar berbanding hanya bergantung kepada laporan pegawai di
peringkat tempatan.
Ali juga berharap Cuepacs yang memperjuangkan nasib penjawat awam
supaya dapat berkongsi pandangan atau pendapat dan tidak merasakan wujud
sebarang kekangan antara beliau dan kongres itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment