19 July 2012

Debat Sinar hari ini, terima perbezaan politik

SHAH ALAM - Pemimpin politik perlu menarik minat generasi muda bukan dengan cara pertaruhan menentukan siapa menang atau kalah, tetapi memastikan semua pihak belajar menerima perbezaan dengan penuh tasamuh atau toleransi.


Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa Kewangan Islam (ISRA), Perunding Syariah, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, melalui Debat Sinar Harian di bawah tajuk "PRU 13: Orang Muda Pilih Siapa?", menggandingkan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya hari ini, adalah satu bentuk wacana politik yang segar.

"Debat yang dimaksudkan adalah berteraskan budaya politik baru, pendedahan ilmu, penerapan akhlak dan bukan emosi melulu mahupun adu domba dan fitnah.

"Justeru itu, generasi muda perlu peka dan menilai dialog perdebatan kedua-dua tokoh politik muda secara hikmah dan menerima perbezaan fakta dan ilmu yang disuburkan dengan cara yang paling baik tanpa emosi, melalui debat anjuran Sinar Harian, kali ini," katanya kepada Sinar Harian.
Ia akan berlangsung jam 5 petang ini di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.
Menurutnya, debat yang dianjurkan Sinar Harian yang menemukan dua pimpinan muda dari dua parti politik yang mendominasi negara mampu memberikan peluang kepada golongan muda menilai perkara baik berdasarkan hujah pendebat.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, debat ini sememangnya perlu dilakukan secara prolifik supaya dapat memberi penilaian kepada anak muda untuk melihat bagaimana cara pimpinan muda politik berfikir dan apa yang membolehkan generasi ini memilih idola mereka.

"Pendapat saya, secara umumnya generasi muda perlu didekati seperti rakan sebaya. Pimpinan muda mestilah mempunyai ketokohan yang tinggi untuk memimpin mereka. Kebanyakan orang muda tidak suka politik lama dan kejumudan berpolitik tanpa berfikir. Di mana ia mestilah berasaskan hujah sebenar bagi menentukan masa depan negara.

"Kebanyakan daripada generasi muda menjadikan ikon selebriti sebagai idola mereka. Di sinilah pimpinan politik muda perlu mengambil peluang menjadikan diri mereka sebagai ikon, menarik orang muda untuk membentuk masa depan negara, di mana generasi muda inilah yang bakal memimpin negara satu hari nanti," katanya.

Setiausaha Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil pula berkata, keterbukaan Sinar Harian meneruskan debat terbuka politik untuk generasi muda dapat membantu rakyat Malaysia khususnya generasi muda supaya lebih matang untuk menghadapi suasana politik yang semakin mencabar. Ia sekali gus mampu melahirkan masyarakat lebih bertamadun dan peka terhadap perkembangan semasa.

Katanya, beliau percaya debat yang menemukan dua tokoh agama dalam organisasi kepimpinan akan menghasilkan kupasan menarik yang mampu memberikan panduan kepada anak muda untuk menilai kemampuan politik yang melibatkan kedua-dua parti politik pendebat.

"Apa yang menarik melalui gandingan kedua-dua pendebat, memiliki latar belakang disiplin ilmu hampir yang sama. Saya percaya pendapat yang diberikan berdasarkan daripada ilmu dan pengalaman, bukannya mengikut emosi dan perasaan," katanya.

Selain itu, apabila ditanya mengenai bagaimana pimpinan muda politik dapat menarik minat generasi muda, beliau berpendapat, generasi muda bertindak mengikut maklumat dan pengetahuan, bukannya kumpulan anak muda yang mudah terikut-ikut dengan kehendak dan kebiasaan generasi lama dalam berpolitik.

"Apa yang penting, generasi muda perlu diberikan ilmu dan maklumat tepat walaupun melalui perjumpaan ataupun peranan dunia siber mengikut realiti semasa, ekonomi dan politik. Informasi itu dapat dipertimbang dengan sewajarnya untuk menentukan masa depan politik Malaysia," katanya.
Mereka yang ingin mengemukakan soalan kepada pendebat iaitu Fathul Bari dan Nasrudin boleh menyalurkannya ke akaun https://twitter.com/#!/sinaronline atau http://www.facebook.com/SinarHarian ataupun ke alamat e-mel editor.online@sinarharian.com.my mulai sekarang. - SH

* Tak sokong dua-dua...