KUALA LUMPUR - Bekas isteri penyanyi popular Hattan menfailkan saman
bagi menuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan Oh
Bulan! kerana menyiarkan artikel fitnah mengenainya.
Noorfarashikin Othman, 32, seorang peniaga, menfailkan saman itu di
pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, pada 3 Julai lepas melalui Tetuan
Ranjit Singh & Yeoh dengan menamakan Driven Communications Sdn Bhd
sebagai defendan.
Noorfarashikin bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin.
Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.
Peguam Nizam Bashir yang mewakili Noorfarashikin memberitahu media
bahawa mahkamah menetapkan 10 Ogos ini bagi defendan menfailkan
pembelaan dan juga pengurusan kes.
Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu antara lain memohon ganti rugi
am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan lain-lain
relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Noorfarashikin mendakwa pada Januari lepas defendan melalaui laman web hhtp:/www.ohbulan.com/ telah menerbitkan satu artikel.
Beliau berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau merupakan
seorang yang curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.
Wanita itu berkata reputasi peribadi dan profesionalnya telah rosak dan
beliau mengalami kesedihan, rasa malu dan tersinggung perasaan akibat
penyiaran artikel itu. - Bernama
* Kita pun malu lihat gambar begitu...