JAKARTA 21 Julai - Vokalis utama kumpulan Peterpan, Nazriel Irham
atau Ariel, yang akan dibebaskan secara bersyarat dari penjara Kebon
Waru, Bandung esok, tidak mahu pembebasannya itu menjadi tontonan ramai.
Ariel hanya mengharapkan kehadiran ibu bapanya, selain meminta untuk terus pulang ke rumah.
Terdapat khabar angin menyebut, ada seorang wanita yang dipercayai kekasih terbarunya akan menjemputnya di penjara.
"Bagaimanapun, Ariel enggan dijemput oleh kekasihnya atau orang lain.
Dia hanya mahu dijemput orang tuanya," kata petugas penjara berkenaan,
Pipit kepada media tempatan.
Ariel ditahan pada 23 Jun 2010 selepas didapati terlibat dalam kes
penyebaran video porno dengan dua artis wanita , Luna Maya dan Cut Tari.
Bagaimanapun, sejak Ariel dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam
bulan pada 31 Januari tahun lalu, nama Luna Maya dan Cut Tari senyap. - Utusan
