18 June 2012

Shamsubahrin hadapi 17 pertuduhan baru

Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail, mengaku tidak bersalah terhadap 17 tuduhan baru membabitkan pengubahan wang haram.

Shamsubahrin, 45 tahun, didakwa melakukan semua tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (akta 613) di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Jalan Duta Kuala Lumpur.

Shamsubahrin yang memakai sut kelabu kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan.

Beliau sebelum ini didakwa atas lima tuduhan menipu pengarah National Feedlot Corporation (NFC), Dr Mohamad Salleh Ismail dan ia akan didengar pada 29 Julai ini.

Peguam Kamalhisham Kamaruddin dan Afifuddin Ahmad Afifi mewakili Shamsubahrin sementara pendakwaan dilakukan Anselm Charles Fernandis dan Robert Pasang Alam daripada Pejabat Peguam Negara.

Sembilan daripada 17 pertuduhan didakwa berlaku di Kuala Lumpur dan lapan lagi di dalam Selangor.

Bagaimana pun, kedua-dua pendakwa dan peguam bela bersetuju semua pertuduhan dibicarakan di Kuala Lumpur.

Akan dibaca dengan tuduhan tipu bos NFC
Tiga daripadanya berkaitan deposit dan pengeluaran wang tunai - dipercayai hasil daripada aktiviti haram - melalui cek melibatkan Syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd, Syarikat
National Meat & Livestock Corporation dan Syarikat Real Food Sdn Bhd.

Tiga lagi menggunakan cek bank (banker's cheque) untuk membeli kereta Mitsubishi Triton, Mitsubishi Grandis dan Mitsubishi ASX juga dipercayai menggunakan wang daripada aktiviti wang haram.

Pertuduhan-pertuduhan lain pula melibatkan pengeluaran dan deposit wang daripada aktiviti haram ke dalam akaunnya sendiri, akaun isterinya dan akaun dua syarikat miliknya.

Peguam Shamsubahrin, Kamal Hisham meminta mahkamah agar tidak mengenakan sebarang jaminan wang atas alasan beliau menghadirkan diri pada perbicaraan melibatkan tuduhan menipu sebelum ini tanpa sebarang masalah.

Beliau juga berhujah bahawa Shamsubahrin tetap hadir ke mahkamah walaupun "ditangkap menggunakan lima kereta polis seperti Mossad" untuk soal siasat perbicaraan hari ini.

Hakim SM Komathy Suppiah bagaimanapun menetapkan Shamsubahrin diikat jamin sebanyak RM30,000 untuk semua tuduhan.

Semua 17 kes akan dibicarakan serentak dan mahkamah menetapkan ia akan didengar bersama tuduhan menipu pengarah NFC pada 29 Julai ini. - mkini

No comments:

Post a Comment