18 June 2012

Pelabur beli dinar emas dakwa ditipu

Seorang pelabur Jepun mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh seorang pegawai kanan di sebuah syarikat pengeluar dinar emas milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan, lapor Utusan Malaysia.

Akhbar itu mendakwa, pelabur yang dinamakan sebagai Takao Kono itu membuat laporan polis pada 28 Mei ke atas pegawai kanan syarikat Kelantan Gold Trade Sdn Bhd atas dakwaan penipuan melibatkan jumlah AS$1 juta (RM3.19 juta) itu.

"Pelabur itu dikatakan telah menyediakan wang berjumlah AS$1 juta (RM3.19 juta) dalam masa satu bulan dan kemudian membeli emas serta perak untuk program perniagaam dinar dan dirham.

"Bagaimanapun Kono kemudian ingin menarik diri daripada perniagaan tersebut selepas hilang keyakinan terhadap pegawai kanan itu, namun emas dan perak yang dibelinya dikatakan telah dihantar ke Kazakhstan," laporan akhbar itu dipetik.

Satu lagi laporan polis didakwa dibuat oleh seorang individu warga Perancis, dinamakan sebagai Mohamad Esfih pada 1 Jun terhadap pegawai sama, atas keraguan mengenai aktiviti keagamaan pegawai berkenaan.

Laporan polis ketiga, bertarikh 31 Januari, didakwa dibuat ke atas pegawai kanan terbabit oleh seorang bekas pengarah eksekutif syarikat berkenaan, dinamakan sebagai Nik Mahani Mohamad.

Laporan polis itu dibuat atas dakwaan salah laku oleh pegawai kanan tersebut ketika menjawat jawatan penting di syarikat terbabit, lapor akhbar itu lagi.

Laporan Utusan itu turut memetik satu tulisan di blog kickdefella.net yang menuntut supaya exco hal ehwal ekonomi Kelantan, Datuk Husam Musa menjelaskan dakwaan melibatkan syarikat tersebut. - mkini

No comments:

Post a Comment