PETALING JAYA - Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek hari ini
dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret daripada tuduhan
menggunakan dadah, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid selepas
mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Saiful Apek atau
nama penuhnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff.
Saiful Apek dan tiga rakannya didakwa menggunakan ganja di Pejabat
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1,
Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah
Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang
membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit
kesalahan.
Ahmad Solihin membebaskan Saiful Apek dengan mengemukakan lima alasan utama penghakiman.
Menurutnya, pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dengan
mengemukakan isu berkenaan percanggahan tarikh di label botol sampel air
kencing; penyimpanan sampel yang terlalu lama; mempunyai dua borang
ujian pengesanan air kencing serta gagal membuktikan elemen kalibrasi
dan kawalan kualiti dalam ujian pengesanan.
Mahkamah juga mendapati kegagalan pendakwaan mengemukakan botol sampel air kencing telah melonggarkan kes pendakwaan.
"Pendakwaan dengan ini gagal membuktikan kes (prima facie). Tertuduh dilepas dan dibebaskan," katanya.
Sementara itu, Saiful Apek ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan
rasa terharu terhadap keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai bukti
bahawa dia di pihak yang benar.
Beliau berterima kasih kepada peguam Mohd Fadly Hashim dan Zamri Idrus
yang banyak membantu serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan.
"Saya percaya kepada undang-undang dan perlembagaan. syukur rezeki tetap ada," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad ketika ditemui memaklumkan
pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam masa
terdekat. - SH
No comments:
Post a Comment