19 June 2012

Polis: Dakwaan seksaan 'tak berasas dan berniat jahat'

Polis menafikan dakwaan dalam nota yang diseludup keluar dari Kem Tahanan Kemunting, bahawa berlakunya penyeksaan terhadap tahanan yang sedang ditahan di Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tahanan itu tidak pernah membuat sebarang aduan penyeksaan atau setakat ini, tiada laporan doktor berhubung dakwaan tahanan didera dan mengalami kecederaan pada tubuh badan mereka, kata Penolong Ketua Urusetia Perhubungan Awam Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf.

"Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya bahawa semua dakwaan yang dilemparkan berhubung penyeksaan ke atas OT (Orang Tahanan) semasa tahanan oleh Cawangan Khas adalah tidak berasas dan mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta imej PDRM dan Cawangan Khas.

"Di samping itu, adalah dipercayai mereka ini cuba mencari publisiti serta meraih simpati masyarakat dengan menyebarkan dakwaan tersebut dengan harapan mereka akan mendapat pembebasan awal selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dimansuhkan," katanya.

Bagaimanapun, kata Ramli, sekiranya tahanan masih mengatakan penyeksaan berlaku, maka ia harus mengemukakan bukti yang jelas dan boleh diterima sebagai keterangan di mahkamah.

Semalam Malaysiakini melaporkan satu nota penyeksaan yang didakwa diseludup keluar dari kem tahanan ISA di Kamunting, menimbulkan persoalan berhubung kaedah soal siasat yang digunakan pihak berkuasa ala Guantanamo yang didakwa dialami 45 tahanan yang masih dikurung di situ. - Mkini

No comments:

Post a Comment