KUALA LUMPUR 8 Jun - Polis mengedarkan lakaran wajah dua lelaki tempatan dipercayai suspek yang terlibat menyamun dan mencederakan seorang guru wanita kelmarin sebelum dia ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dekat sini, pagi semalam.
Lakaran kedua-dua lelaki berketurunan India berusia 20-an itu berjaya dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika mereka mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Taman Puncak Jalil.
Dalam kejadian itu, mangsa dilarikan sebelum disamun kumpulan suspek berkenaan semasa dalam perjalanan untuk berjoging di Bukit Jalil bersama rakannya.
Lebih malang, penyamun dipercayai lebih daripada dua orang itu tergamak bertindak kejam terhadap mangsa, Teoh Soo Kim, 51, apabila membelasah wanita itu sehingga tidak sedarkan diri dan meninggalkannya dalam keadaan cedera parah di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dekat sini.
Mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila ditemui oleh seorang pekerja ladang semalam dan sempat dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, guru tadika itu disamun oleh sekumpulan lelaki dipercayai lebih daripada dua orang semasa dalam perjalanan menemui seorang rakannya untuk berjoging di Bukit Jalil kira-kira pukul 7.30 pagi kelmarin.
“Kehilangan Soo Kim disedari oleh keluarganya apabila rakan yang menunggu mahu berjoging bersama menghubungi suaminya setelah mangsa tidak muncul di tempat dijanjikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - utusan
No comments:
Post a Comment