KAHERAH - Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi diisytihar
memenangi pemilihan Presiden Mesir yang pertama selepas Hosni Mubarak
digulingkan awal tahun lalu.
Mohammed, yang mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan, memperoleh 51.73
peratus undi atau lebih 13 juta undi manakala pencabarnya di pusingan kedua
pemilihan, Ahmed Shafiq, yang juga bekas Perdana Menteri era Hosni, mengumpulkan
48.27 peratus undi atau lebih 12 juta undi.
Menjelang pengumuman hari ini, yang mula dibuat sejak jam 9 malam tadi (waktu
Malaysia), protes diadakan di Dataran Tahrir ekoran pengumuman Majlis Agung
Angkatan Tentera (Scaf) bahawa pihaknya mahu mengurangkan atau mengehadkan kuasa
presiden dan pada masa yang mengukuhkan kuasa tentera.
Pemilihan pusingan kedua diadakan awal minggu lepas. Sebaik sahaja pengundian
berakhir, kedua-dua calon itu mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang.
Keputusan pemilihan sepatutnya diumumkan Khamis lalu, tetapi ditangguhkan
ekoran aduan daripada calon-calon yang bertanding berhubung proses pengundian
dan kiraan kertas undi.
Pusingan pertama pemilihan diadakan bulan lalu.
Seramai 50.3 juta pengundi layak mengundi pada pemilihan kali ini. Kira-kira
37,000 kertas undi telah dibatalkan, kata Ketua Suruhanjaya Pemilihan Presiden,
Farouk Sultan yang membacakan mukadimah kira-kira 90 minit sebelum mengumumkan
nama pemenang sekitar jam 10.30 malam (waktu Malaysia).
Katanya, suruhanjaya itu menerima sebanyak 452 rayuan daripada kedua-dua
calon.
Pengumuman itu membawa kepada kegembiraan di kalangan penyokong Mohammed yang
berhimpun di Dataran Tahrir sejak beberapa hari lalu.
Kelewatan pengumuman mencetuskan rasa gelisah dan ketegangan di Mesir
khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Mohammed.
Pengumuman dibuat di sebalik kawalan ketat ekoran kebimbangan bahawa
keputusan pemilihan boleh membawa kepada pergaduhan, sekali gus mencetuskan
keadaan tidak terkawal sebagaimana disaksikan awal tahun lalu - ketika
kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan kepimpinan Hosni.
Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas
Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak
pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru,
tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.
Kuasa presiden dihadkan manakala perlembagaan pula belum dirangka. - SH
* Suntikan semangat buat Pakatan Rakyat...
No comments:
Post a Comment