SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merayu parti-parti politik memberi
kerjasama dengan tidak mempertikaikan mekanisme yang hendak digunakan untuk
menyiarkan manifesto menerusi RTM semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Sehubungan itu, badan pengendali pilihan raya mahu Pakatan Rakyat (PR)
mencuba terlebih dahulu kaedah rakaman dan memberi peluang untuk melaksanakannya
sebelum sangsi dan menolak bulat-bulat.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz
Mohd Yusof berkata, usaha pihaknya mendapatkan ruang bagi menyiarkan manifesto
untuk semua parti harus diteruskan sebelum membuat andaian
negatif.
Menurut Abdul Aziz, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh
untuk mendapatkan ruang bagi kesemua parti menyiarkan manifesto mereka melalui
beberapa televisyen kerajaan dan ia dilihat sebagai satu langkah yang
baik.
"Saya dah berusaha dapatkan ruang itu, baik kita gunakan peluang
ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan komen-komen yang negatif.
"Kita cuba dahulu. Kalau betul seperti yang dikatakan oleh pihak tersebut,
bolehlah buat komen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari
ini.
Abdul Aziz berkata lagi, sekiranya menifesto yang disiarkan oleh
mereka diputarbelitkan oleh pihak penyiar, parti tersebut boleh membuat atau
mengeluarkan kenyataan negatif itu.
Dalam pada itu, Abdul Aziz melihat
perkembangan ini adalah baik jika kesemua parti politik diberi peluang
menyiarkan manifesto mereka untuk tatapan rakyat.
Semalam, Setiausaha
Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan yang dibuat oleh Abdul Aziz
tidak menepati tuntutan Bersih 3.0 dan sekiranya perkara tersebut dilakukan,
manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab.
Abdul Aziz berkata, rakaman yang
dibuat sebelum disiarkan adalah peraturan yang biasa dilakukan oleh semua orang
sebelum disiarkan dan bukan disebabkan faktor politik.
"Ucapan saya
sendiri dirakam dan disunting terlebih dahulu sebelum disiarkan terus melalui
televisyen.
"Ini adalah peraturan biasa yang dilakukan oleh pihak
penerbitan dan bukan disebabkan faktor politik," katanya lagi.
Beliau
berkata, pihak SPR sendiri tidak setuju sekiranya manifesto yang disiarkan
diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang didakwa
Mustafa dan SPR juga akan mengambil tindakan untuk masalah itu.
"Datuk
Mustafa jangan berfikiran seperti itu, kita cuba dulu kalau jadi seperti itu
parti politik boleh maklumkan kepada kami," katanya lagi. - SH
* Susah nak percaya kata SPR yang rekod sebelum ini cenderung kepada Umno...
No comments:
Post a Comment