Seorang tukang masak dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah
Tinggi Alor Star hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang
wanita yang enggan berkahwin dengannya tahun lepas.
Othman A.
Aziz, 61, dijatuhkan hukuman itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki
Abdul Wahab mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan
yang munasabah terhadap kes itu.
Dalam penghakimannya, Mohd Zaki
berkata berdasarkan keterangan pakar patologi, terdapat 26 luka tikaman
dan empat luka hirisan pada bahagian dada dan belakang mangsa.
"Luka
tikaman itu menembusi organ dalaman si mati dan tertuduh mempunyai niat
untuk membunuh si mati. Jadi mahkamah tiada pilihan lain selain
menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh mengikut peruntukan
undang-undang iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Mengikut
pertuduhan, Othman didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di
dalam sebuah bilik bernombor G 12 di rumah nombor 1926H, Taman Mahkota,
Jalan Stadium di Alor Star antara pukul 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga
12.45 pagi 3 Mei 2011.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Othman
yang merupakan bapa kepada dua orang anak dalam rayuannya memohon maaf
kepada isteri dan anak-anaknya serta keluarga mangsa.
"Saya
mohon mahkamah pertimbangkan rayuan kes saya dan saya insaf dengan apa
yang telah terjadi. Saya juga mohon agar mahkamah mempertimbangkan
supaya saya boleh menjalani hukuman penjara di Selangor kerana keluarga
saya berada di sana," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam A. J. Surinarayanan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment