PETALING JAYA: Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menafikan wujudnya perselisihan faham di antara beliau dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli mengenai isu pendidikan percuma di negeri itu.
"Saya tidak nampak masalah mengenainya. Rafizi dan saya berbincang tentang bagaimana mahu mengatasi isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tindakan terbaik perlu diambil kerajaan negeri," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada mStar Online, Jumaat.
Beliau berkata, Rafizi turut menyambut baik keputusan kerajaan negeri Selangor yang sanggup menyediakan dana berjumlah RM30 juta untuk menampung pendidikan pelajar di Universiti Selangor akibat pembekuan pinjaman PTPTN baru-baru ini.
Pada Khamis, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Penasihat Ekonomi Selangor menerusi laman Twitternya.
Ketika ditanya sama ada peletakan jawatan Rafizi berpunca daripada tindakan Faekah yang campur tangan dalam urusan parti, beliau berkata perkara tersebut tidak benar sama sekali.
"Dakwaan seperti itu ternyata tidak benar," katanya.
Malah beliau berkata, sehingga Jumaat surat peletakan jawatan Rafizi masih belum diterima pejabat Menteri Besar Selangor.
"Saya tidak terima lagi surat itu. Perkara itu juga masih belum dibincangkan di peringkat tertinggi," katanya.
Peletakan jawatan Rafizi secara mengejut itu menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai krisis dalaman yang semakin meruncing melanda PKR ketika ini.
Selain itu, ada segelintir ahli PKR mendakwa Rafizi mengambil keputusan drastik tersebut akibat perbalahan dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan Faekah mengenai projek perintis pendidikan percuma di Selangor.
Bagaimanapun, Rafizi menafikan keputusan tersebut mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri mahupun Faekah.
Sebaliknya, beliau memberikan alasan langkah itu bertujuan untuk berehat bagi menumpukan ibadah pada bulan Ramadan nanti.
"Letak jawatan proses biasa. Perlu sedikit rehat, letih buat dua kerja di kerajaan negeri dan parti. Ramadan dah dekat, tumpu ibadah," katanya.
"Saya tidak pernah kekal lebih dari dua tahun pada satu-satu jawatan. Tugas ini sudah melebihi dua tahun, sudah tiba masanya untuk melangkah ke hadapan. Tidak ada kaitan politik dengan itu," katanya.
Rafizi yang turut dikaitkan akan bertanding kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum akan datang menafikan dakwaan beliau akan menyertai Umno.
"Kepada yang ragu-ragu saya akan lompat parti, saya berjanji akan bersunat sekali lagi kalau lompat parti. Patut semua wakil rakyat kena janji macam ni," katanya. - Mstar
No comments:
Post a Comment