SEREMBAN— Seorang pensyarah wanita warga Filipina dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini selepas dia didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja seberat hampir 12 kilogram di Plaza Tol Seremban, di sini dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zulkifli Bakar menjatuhi hukuman itu ke atas Aida Dizon Garcia, 55, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tertuduh yang diberitahu penterjemahnya mengenai hukuman itu kemudiannya tidak dapat menahan air mata dan menangis sebelum dibawa keluar dari mahkamah.
Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 11.956 kg di tepi Plaza Tol Seremban, kira-kira jam 5.30 pagi, 27 November 2010 mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.— BERNAMA

No comments:
Post a Comment