15 June 2012

Bekas Presiden Tunisia dihukum penjara seumur hidup

TUNIS - Bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah semalam selepas didapati bersalah mengarahkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan, sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan revolusi di rantau Arab tahun lalu.

Keputusan itu diumumkan tanpa kehadiran Ben Ali, 76, yang kini hidup dalam buangan di Arab Saudi.

Beliau digulingkan oleh rakyat Januari tahun lalu. Bekas Menteri Dalam Negeri, Rafik Belhaj Kacem dan beberapa individu lain yang disabit bersalah kerana bersubahat turut dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Bagaimanapun, 10 pegawai kerajaan lain semasa era pemerintahan beliau dibebaskan, sekali gus menyebabkan keluarga mangsa yang terkorban berang dan tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Dalam satu kenyataan, Hakim Ckokri Mejri berkata, mahkamah cuba untuk membuat keputusan adil tanpa menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebelum ini, pihak pendakwa raya ada memohon supaya hukuman mati dikenakan ke atas Ben Ali kerana menyebabkan 22 terbunuh semasa pasukan keselamatan mengenakan kawalan ketat di bandar Thala dan Kasserine.

Ben Ali menerima nasib sama seperti bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup pada 2 Jun lalu kerana menyebabkan kematian kira-kira 900 penunjuk perasaan semasa kebangkitan revolusi rakyat selama 18 hari di negara itu pada tahun lalu. - SH

No comments:

Post a Comment