KUALA LUMPUR 6 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya takut kepada Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan kerana bekas sahabatnya itu menyimpan pelbagai rahsia kotor sepanjang perkenalan mereka.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menegaskan, Anwar tidak akan berani membuta tuli menyaman Nallakaruppan yang dikatakan mempunyai bukti berbentuk video mengenai skandal seks beliau dengan isteri orang.
"Anwar mungkin berani saman Nallakaruppan RM100 juta, tetapi dakwaan yang lebih menjijikkan iaitu mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang pula, Anwar hanya menyepi.
"Bagaimana hendak saman andainya ada bukti rakaman video? Itulah sebab mengapa Anwar hanya berdiam diri, dia takut Nallakaruppan akan membocorkan semua rahsianya itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas desakan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim yang mendesak Anwar memberi penjelasan berhubung tindakan beliau menyaman Nallakaruppan hanya kerana Ahli Dewan Negara itu mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.
Zahrain turut mengkritik Anwar menyaman Utusan Malaysia yang pada dasarnya hanya medium pelapor sedangkan individu-individu yang 'rela' disaman berikutan membuat kenyataan terhadapnya tidak pula diambil tindakan.
"Suatu waktu dahulu, Utusan (Malaysia) yang menjulang nama Anwar tetapi kini kerana beliau pembangkang, maka Utusan dijadikan musuh utamanya walaupun terdapat banyak media lain serta blog sering mengkritik beliau," ujarnya.
Sementara itu, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, Anwar sewajarnya tidak gentar mengambil tindakan tersebut sekiranya kebenaran berpihak kepadanya.
"Beliau harus berani memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia andainya kebenaran berada pada pihaknya dan berhenti berdolak-dalik serta mengelirukan rakyat," tegas beliau. - Utusan
* Itulah bezanya orang cerdik dengan orang kurang cerdik. Kalau ada, boleh dedahkan nanti di mahkamah...
No comments:
Post a Comment