18 May 2012

Penduduk tidak larat disamun lagi

ULU TIRAM – Penduduk Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, di sini hidup dalam kebimbangan apabila kawasan perumahan mereka menjadi tumpuan penjenayah melakukan kegiatan pecah rumah dan samun.

Seorang penduduk, Asiah Hamid, 42 berkata, kediamannya sudah dipecah masuk sebanyak lapan kali sejak menetap di kawasan perumahan berkenaan 12 tahun lalu dan mengalami kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Dalam lapan kejadian berkenaan, tiga daripadanya berlaku ketika saya dan keluarga sedang tidur di dalam rumah manakala yang lain-lainnya berlaku ketika kami tiada di rumah.

“Kejadian terakhir rumah saya di pecah masuk adalah pada November tahun lalu dan sehingga kini masih tiada makluman sama ada penjenayah terbabit berjaya ditangkap atau tidak.

“Kami berasa terancam bukan sahaja dari segi harta benda tetapi juga keselamatan kami kerana penjenayah yang memecah masuk ke dalam rumah kami turut membawa senjata,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau berharap tindakan penguatkuasaan dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan dapat dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian pecah rumah terus berleluasa di situ.

“Pada masa ini penduduk setempat mengambil inisiatif mengadakan rondaan sendiri secara bergilir bagi mencegah kejadian pecah rumah ini.

“Namun kami berharap tindakan yang lebih efektif dan komprehensif dapat diambil bagi mengurangkan kejadian ini dan menjamin keselamatan kami,” katanya.

Sementara itu, M Kuma­ravello berkata, hampir setiap rumah di kawasan berkenaan pernah mengalami kejadian pecah rumah.

Katanya, seluruh keluarganya trauma setelah mengalami kejadian pecah rumah sebanyak dua kali sejak menetap di kawasan perumahan itu kira-kira sepuluh tahun lalu.

Katanya, baru-baru ini dalam kejadian 2 Mei lalu, mereka sekeluarga diancam dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang yang memecah masuk ke dalam rumahnya melalui bumbung.

“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi dan ketika itu, saya dan isteri serta ibu dan dua anak kecil sedang tidur di dalam bilik masing-masing.

“Dalam kejadian itu, tangan isteri dan ibu saya diikat dan mereka turut mengugut membunuh dua anak kecil saya yang berusia tiga dan tujuh tahun sekiranya saya melawan dan tidak menuruti kehendak mereka,” katanya.

Kumaravello berkata, akibat kejadian itu, dia kerugian kira-kira RM80,000 setelah barangan kemas serta lapan telefon bimbit dilarikan penjenayah bertopeng itu. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment