18 May 2012

Penangkapan 7 lelaki selesai kes curi motosikal

BATU PAHAT – Cubaan dua lelaki melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha RX-Z gagal selepas mereka ditahan sepasukan polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan kegiatan curi motosikal di Parit Raja di sini pada 11 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kedua-dua mereka ditahan dalam satu sekatan jalan raya selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan selain dilihat ketakutan.

Menurutnya, pihak polis sebelum itu menerima laporan daripada mangsa yang kehilangan motosikal jenis sama selepas kenderaan itu hilang dari parkir kilang tempat mangsa bekerja.

“Hasil soal siasat mendapati pemuda terbabit mengaku melakukan kegiatan berkenaan dan menjadikan kawasan parkir awam juga kilang sebagai sasaran utama mereka.

“Selain itu, mereka juga turut mengaku menjalankan kegiatan berkenaan secara berkumpulan dan mempunyai lima lagi rakan kongsi yang berada di Simpang Renggam, Kluang. Mereka juga menjadikan allen key sebagai senjata utama dalam kegiatan berkenaan yang aktif di sekitar Batu Pahat dan juga Kluang,” katanya kepada Sinar Harian.

Din Ahmad berkata, penahanan kedua-dua suspek membawa kepada tertangkapnya lima lagi rakan mereka sekali gus berjaya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal yang mana empat kes di daerah ini, satu di Kluang dan dua lagi di Simpang Renggam.

Menurutnya, turut ditemui semasa penahanan ketujuh-tujuh suspek yang berumur antara 17 hingga 25 tahun itu ialah lima motosikal, dua enjin motosikal selain satu rangka motosikal.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada mereka positif dadah, manakala bakinya tidak terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang berkenaan. Kesemua suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sekitar Disember 2011 sehingga Mei 2012.

“Ketujuh-tujuh suspek yang boleh dikatakan baru mula berjinak-jinak dengan mencuri motosikal ini akan di siasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment