20 May 2012

Bersih 3.0: Cuepacs mahu temu 3 kakitangan awam dicari polis

KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meminta polis menyerahkan kepada mereka, tiga nama penjawat awam yang didapati terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 bertukar ganas di ibu kota pada 28 April lepas.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Cuepacs ingin bertemu mereka dan menyelidik punca tiga individu berkenaan melibatkan diri dalam perhimpunan yang disokong pembangkang itu.

"...kita nak tahu apakah mereka terpedaya menyertainya dan juga sebab lain yang boleh membantu Cuepacs menangani perkara itu selepas ini," katanya yang ditemui pemberita selepas perasmian seminar kejururawatn sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat Kelantan, di sini.

Omar berkata, Cuepacs juga bersedia memberi penjelasan kepada penjawat awam mengenai peraturan yang mesti mereka patuhi selaku anggota perkhidmatan awam termasuk pembabitan dalam perhimpunan yang tidak dibenarkan.

Beliau juga mengulangi bahawa Cuepacs tidak akan membela mana-mana penjawat awam yang ditangkap dan didapati bersalah melibatkan diri dalam perhimpunan haram.

"Mereka yang ditahan perlu menanggung sendiri risiko kerana menyertai perhimpunan haram adalah di luar bidang kita untuk membantu mereka yang terbabit.

"Dalam peraturan juga jelas menyebut penjawat awam tidak boleh menyertai perhimpunan seperti itu kerana ia boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata, jika didapati bersalah, penjawat awam yang berkenaan boleh dibuang kerja. - Bernama

* Sudahlah Omar, jangan hendak cari publisiti murahan. Selesaikan masalah gaji penjawat awam dulu...

No comments:

Post a Comment