03 March 2012

6 suspek ditahan kes bakar lelaki di Gedangsa

SHAH ALAM - Polis Selangor hari ini menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian membakar seorang lelaki sehingga tubuhnya melecur 80 peratus di ladang kelapa sawit di Sungai Tengi, Hulu Selangor Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata mereka yang berusia antara 20 dan 25 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Labu Kubong, Telok Intan Perak pada pukul 4.30 pagi ini.

Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata dua daripada mereka adalah penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dua lagi jurujual sebuah butik dan bakinya seorang penjual burger dan penghantar surat.

Menurutnya mereka ditahan sepasukan 15 anggota polis Selangor yang menjejaki lokasi mereka di Perak.

Tun Hisan berkata kesemua lelaki itu diberkas hasil siasatan terhadap dua penuntut wanita universiti berusia 19 dan 20 tahun yang ditahan di Shah Alam pada 28 Feb lepas.

Kesemua mereka didapati mengenali satu sama lain dan motif mereka membakar Muhammad Syahirudin Mohd Shauki, 19, dari Kota Damansara disyaki akibat dendam.

Muhammad Syahiruddin kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment