MELAKA - Polis percaya dapat menahan dalang di sebalik penyebaran khabar angin yang menyatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meninggal dunia, dalam tempoh terdekat ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah menemui petunjuk baru dan sedang mengenalpasti suspek utama kes itu.
"Kami masih mengesan pemula (dalang) khabar angin itu....dalam tempoh terdekat, polis akan buat tangkapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Khabar angin kononnya Ketua Polis Negara meninggal dunia ketika membuat lawatan kerja di London tersebar di laman sosial Facebook dan khidmat SMS
baru-baru ini.
Berikutan itu, dua pemuda berusia 20-an ditahan di Pulau Pinang dan Ipoh dan diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka dibebaskan.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Polis Marin akan meningkatkan rondaan di perairan negara terutamanya di Selat Melaka bagi membanteras kegiatan
penyeludupan dan pemerdagangan orang keluar atau memasuki negara ini.
Beliau berkata polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan turut meningkatkan perolehan maklumat risikan berhubung kegiatan itu dalam
usaha mengenal pasti kumpulan sindiket yang terlibat.
"Saya ingin memberi amaran dan peringatan kepada mereka yang terlibat supaya menghentikan kegiatan haram itu kerana ia adalah perkara serius dan
pihak Polis Marin dan APMM sentiasa memantau kegiatan ini," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dibekalkan dengan senjata api ketika melakukan operasi, beliau
berkata, ia terpulang kepada keperluan operasi yang dilakukan.
"Ini kerana polis sentiasa bekerjasama dengan PBT serta agensi kerajaan lain dalam apa jua penguatkuasaan undang-undang yang dilakukan dan kerjasama ini akan
berterusan," katanya.
Pada 27 Januari lepas, seorang pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Azizan Abbas, 26, cedera ditikam manakala empat rakannya
cedera ringan selepas diserang kira-kira 30 lelaki ketika melakukan operasi membanteras aktiviti perjudian berkomputer tanpa lesen di Taman Sri Duyong di sini. - Bernama
* Maafkan sahajalah pelaku yang seperti budak-budak nakal tu. Mudahan panjang umur...
No comments:
Post a Comment