Ia merupakan satu penghakiman yang amat penting yang telah dicalonkan untuk anugerah 'International Gender Justice Uncovered' tahun ini. Bagaimanapun, ini tidak menghalang kerajaan untuk merayu keputusan tersebut.
Itulah nasib Norfadilla Ahmad Saikin, 29 (kiri), yang menyaman Kementerian Pelajaran dan kerajaan kerana menarik balik surat pelantikannya sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di sebuah sekolah menengah di Kajang tiga tahun lalu, hanya kerana dia hamil tiga bulan.
Beliau menamakan dua pegawai daerah, Jabatan Pelajaran Selangor, kementerian dan kerajaan sebagai defendan dalam samannya, untuk memohon pengisytiharan bahawa pembatalan tawaran penempatannya itu menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.
Norfadilla telah berjaya dalam satu temuduga dengan jabatan tersebut yang menawarkan penempatan pada bulan Januari 2009.
Bagaimanapun, beliau dan dua lagi guru sandaran ditanya sama ada mereka hamil atau tidak, dan apabila dimaklumkan yang mereka mengandung, surat tawaran itu terus ditarik balik.
Tidak putus asa, Norfadilla dan suaminya menulis surat kepada kementerian berkenaan untuk meminta penjelasan, dan kemudiannya mereka mengambil keputusan membawa perkara itu ke mahkamah.
Dalam penghakimannya pada 12 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaleha Yusof mengisytiharkan bahawa Malaysia terikat dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), yang ditandatanganinya sejak 1995.
Dalam penghakimannya yang terdapat di lamanweb loyarburok, Hakim Zaleha memetik Artikel 11 (1) CEDAW di mana negara anggotanya hendaklah mengambil segala langkah-langkah sesuai untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam bidang pekerjaan bagi memastikan, atas asas persamaan antara lelaki dan wanita, hak-hak yang sama khususnya dalam peluang pekerjaan, dan kriteria yang sama untuk pemilihan.
Beliau juga menyatakan bahawa Perkara 11 (2) CEDAW menyatakan bahawa negara anggota hendaklah mengambil langkah-langkah untuk melarang pemecatan atas alasan mengandung.
Kementerian Pendidikan dan jabatan memutuskan tidak menerima Nurfadilla berdasarkan satu surat pekeliling bahawa guru GSTT tidak boleh hamil kerana sepanjang tempoh tersebut selama dua bulan di antara masa bersalin hingga sihat sepenuhnya, wanita berkenaan mungkin kerap tidak dapat bertugas atas pelbagai sebab kesihatan, dan apabila bersalin, dia perlu perlu diganti dan guru ganti tidak boleh mengisi tempat guru GSST.
Bagaimanapun, Hakim Zaleha berkata CEDAW bukan setakat satu pengisytiharan tetapi juga merupakan satu konvensyen.
Memetik kes Ezam Md Nor, Hakim Zaleha berkata CEDAW "mempunyai kuasa undang-undang dan mengikat negara-negara anggota, termasuk Malaysia".
"Ini lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia telah mengikrarkan komitmen berterusan untuk memastikan amalan di Malaysia serasi dengan peruntukan dan prinsip CEDAW seperti yang terbukti dalam surat dari Misi Tetap Malaysia kepada Misi Tetap negara anggota PBB bertarikh 9 Mac 2010," katanya.
Peguam Edmund Bon (kiri), yang merupakan peguam utama Norfadilla,apa bila ditanya mengenai keputusan kerajaan untuk merayu, berkata sudah tentulah pihaknya merasa kecewa.
"Kerajaan telah menandatangani CEDAW dan meminda perlembagaan untuk mengharamkan diskriminasi jantina pada tahun 2001, dan ia secara nyata membuat komitmen kepada masyarakat antarabangsa dan khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendukung piawaian antarabangsa mengenai kesaksamaan gender," katanya.
Sebaliknya, kata Boon, kerajaan perlu menerima keputusan itu, maju ke depan dan memastikan tiada kes-kes seperti ini berlaku. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment