25 January 2012

Pembeli rumah terbengkalai buat laporan SPRM

PUTRAJAYA - Seramai 50 daripada 1,200 pembeli rumah di empat projek perumahan terbengkalai sejak 10 tahun lalu di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dengan mendakwa kemungkinan berlaku penyelewengan.

Hanya dua daripada mereka dibenarkan masuk oleh SPRM untuk membuat laporan itu bagi mewakili pembeli lain.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Abdul Karim Said, 57, ketika ditemui pemberita berkata pihaknya datang bagi membantu pembeli-pembeli itu membuat laporan kepada SPRM.

"Kami berharap agar SPRM dapat menyiasat perkara ini supaya semua pihak mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya.

Seorang daripada pembeli, Salmah Bakri, 38, berkata SPRM dan kerajaan Selangor harus menyiasat perkara itu kerana sudah hampir 10 tahun ia terbengkalai begitu sahaja.

Beliau berkata suaminya sudahpun membayar ansuran rumah yang mereka beli sejak tahun 2002 sehingga 2005 namun sehingga sekarang projek perumahan itu masih tidak berjalan.- Bernama

No comments:

Post a Comment