03 December 2011

Najib: Umno cipta sejarah buat bai’ah, dakwa tragis jika Pakatan ganti BN

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Perhimpunan Agung Umno 2011 membuat ‘sumpah bai’ah’ buat kali pertama dalam sejarahnya, dilihat mengikut amalan PAS, untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan Presidennya Datuk Seri Najib Razak menyifatkan ia sebagai “pilihan raya paling getir” bakal dihadapi mereka.

Dalam ucapan penggulungannya Najib (gambar) mendakwa negara akan berhadapan dengan tragis jika Pakatan Rakyat, yang terdiri daripada DAP-PAS-PKR memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Kita berdepan dengan pilihan raya paling getir... untuk membuat pilihan paling getir yang akan menjadi penentu kepada sama ada akan menikmati masa depan yang terang, antara (mengekalkan kerajaan) Umno-BN dan (memilih) Pakatan... kita berdepan dengan tragis jika memilih Pakatan Rakyat,” kata beliau.

Pengerusi BN ini menambah, Umno membuat sejarah apabila buat pertama kali parti itu mengadakan ikrar atau “bai’ah” sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Najib berkata ahli-ahli Umno dan orang ramai tiada pilihan kecuali mengundi Umno-BN dan meletakkan harapan ke atas kerajaan semasa meneruskan kuasa pemerintahan.

Dilihat kandungan ucapan penggulungan senada dengan ucapan dasar yang disampaikan kelmarin, Najib berkata, ucapan penangguhan beliau petang ini bertujuan meyakinkan pengundi-pengundi yang berada di luar Dewan Merdeka, khususnya rakyat bukan ahli Umno.

Katanya, beliau tiada masalah dalam meyakinkan ahli-ahli Umno termasuk mereka yang menghadiri perhimpunan agung tahunan.

Beliau yang mengetuai Umno sejak 2009 menambah, partinya sudah mula menampakan kebangkitan, yang menurutnya dapat dilihat hasil keputusan siri pilihan raya kecil kebelakangan ini.

Dalam ucapannya, Najib juga berkata beliau gembira kerana perhimpunan kali ini mencapai empat matlamat yang beliau gariskan iaitu bersatu, bersiap sedia, menyokong pelan transformasi kerajaan dan dapat meyakinkan 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menggerakkan semangat anggota parti dengan melafaz ikrar taat setia kepada parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Muhyiddin mengajak seramai 5,447 perwakilan daripada 191 bahagian yang hadir untuk bersama-sama beliau melafazkan ikrar tersebut sebagai lambang taat setia kepada parti demi kelangsungan perjuangan memartabatkan agama, mengangkat maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

“Marilah kita bersama-sama bangun dengan semangat kesatuan dan kesepakatan, kejujuran dan keikhlasan, keyakinan dan kesungguhan untuk meraih sokongan padu rakyat demi kemenangan parti kita, kata beliau.”

Ikrar itu berbunyi:

“Kami orang Umno, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan iri hati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

“Kami orang Umno berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.

“Kami orang Umno bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah s.w.t, bagi memastikan kemenangan Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-13.

“Kami orang Umno berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.

“Terima kasih saudara-saudari perwakilan.” - TMI

* Tragis buat pemimpin Umno jika kalah kerana mereka kemungkinan akan diseret ke mahkamah kerana salah guna kuasa. Dan itulah yang rakyat mahu lihat...

No comments:

Post a Comment