12 December 2011

Apa beza saingan politik dalaman PAS?

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu senarai calon parti itu dalam pilihanraya umum (PRU) ke -13 adalah jelas. Ia belum muktamad. PAS Pusat belum membuat keputusan kerana baik Dewan Rakyat atau mana-mana Dewan Undangan Negeri belum dibubarkan.

Demikian amalan PAS. Lantas tidak timbullah persoalan sesiapa sahaja pemimpin PAS yang menganggotai sama ada Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan tidak akan dicalonkan semula. Ini termasuk ahli exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Hasan Ali.

Kenyataan Abdul Hadi itu tuntas, tegas, dan adil. Namun yang tidak adilnya ialah, beliau segera merumuskan laporan berhubung masa depan politik Hasan itu hanya “laporan” pihak media. Ini kurang adil kerana laporan-laporan media itu sebenarnya mempunyai sumber rasmi dan sahih.

Jumaat lalu, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib mengumumkan bahawa Hasan menerima pencalonan yang kurang berbanding tiga pemimpin lain untuk mempertahankan kerusi Gombak Setia. Ini membawa maksud di peringkat akar umbi Hasan tidak diperakui untuk bertanding semula.

Namun Saari tidak pula menyatakan pendirian rasmi Dewan Kepimpinan PAS Selangor – mahu calonkan semula Hasan atau tidak.

Luar tabie

Sedihnya, apa pun pendirian dewan itu, mengapa perkara Hasan ini harus diberitahu kepada umum. Keadaan ini mengheret kepada beberapa persoalan.

1. Adakah menjadi kelaziman PAS untuk membuat pengumuman atau sekurang-kurangnya memberi bayangan rasmi siapa yang akan dicalon dan siapa yang akan digugurkan menjelang pilihan raya?

Bertatahkan jawapan Abdul Hadi berhubung isu Hasan Ali ini maka tentu jawapannya tidak, itu bukan kelaziman PAS. Dalam pilihanraya kecil pun PAS tidak bertindak demikian.

2. Mengapa perlu PAS Selangor bertindak di luar tabie dalam kes Hasan Ali seorang sahaja? Adakah ini bermakna wakil-wakil rakyat PAS yang lain di Selangor tidak akan digugurkan?

3. Jika tidak, apakah motif Saari Sungib mencetuskan spekulasi ini? Adakah beliau mendedahkan perkara ini dengan izin dan restu Dewan Pimpinan PAS Negeri Selangor di bawah pimpinan Pesuruhjaya barunya, Dr Rani Osman?

4. Jika tidak, apakah Saari tidak bertindak di luar bidang kuasanya tanpa memikirkan kesannya terhadap parti? Jika demikian, tidakkah patut barisan pimpinan baru PAS Selangor mengambil tindakan disiplin ke atas Saari?

Saari Sungib, ADUN PAS kawasan Hulu Kelang merangkap Ketua Penerangan PAS Selangor yang memulakan spekulasi ini. Mengapa perlu Abdul Hadi menyalahkan media?

Persoalannya ialah, apakah istimewanya isu dan kedudukan Hasan ini sehingga PAS Pusat seolah-olah terkedu tidak berdaya berbuat apa-apa sama ada ke atas Dewan Pimpinan PAS Selangor, atau sekurang-kurangnya ke atas aari Sungib kerana meletakkan kedudukan parti dalam keadaan serba salah di mata rakyat?

Yang pastinya, rakyat dapat menghidu ada sesuatu yang tidak kena apabila amalan lazim PAS dilanggar.

Aibkan pemimpin sendiri

Ahli-ahli PAS memang terkenal dengan sikap sami’na wa atha’takna (kami dengar dan kami taat). Persoalannya, bolehkah ahli-ahli PAS Selangor khususnya dengar dan taat pada keputusan PAS Negeri yang membelakangi amalan PAS Pusat?

Bila ada kesamaran begini, tidakkah ini akan melorong kepada lebih banyak lagi spekulasi. Apakah sebenarnya kini sedang berlaku perebutan kuasa dan pengaruh dalam kepimpinan PAS Selangor?

Jika tidak, bukankah itu bukan amalan lazim PAS mengaibkan pemimpinnya sendiri di mata awam? Mengapa perlu Saari memulakan spekulasi tentang bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang telah memimpin PAS sendiri mengambil alih kuasa bersama PKR dan DAP di Selangor dari Umno-BN 39 bulan lalu?

Bukankah Hasan sendiri yang bertanggungjawab memilih barisan PAS Selangor hari ini seperti Dr Rani, Khalid Samad dan Saari Sungib untuk menjadi wakil rakyat ketika menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor dalam pilihanraya umum 2008?

Mengapa kini ada seolah-olah ada gerakan untuk mencemar rekod khidmatnya?

Dengan menyatakan bahawa beliau mendapat undian kurang di peringkat kawasan berbanding tiga orang lain (yang tidak diketahui mereka bertaraf pemimpin atau bukan) di ambang persiapan menjelang PRU ke-13 memang perbuatan yang kurang kasih sayang sesama teman seperjuangan khususnya Hasan?

Sama dengan Umno

Sekalipun barisan pimpinan PAS Selangor ada masalah dengan sikap, kepemimpinan dan cara Hasan menjadi wakil rakyat Gombak Setia ataupun prestasinya sebagai ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi Hal ehwal Agama dan Adat Istiadat Melayu serta Pembangunan Infrastruktur, tidak bolehkah perasaan negatif itu dibendung hingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan?

Apapun isyarat yang jelas sudah disemarakkan; apapun sebabnya, PAS Selangor (dan mungkin juga PAS Pusat jika tiada tindakan disiplin diambil dalam kes ini) tidak mahu Hasan lagi dalam saf perjuangan PAS.

Kewibawaan Presiden janganlah dicemari dengan pelbagai spekulasi yang dibuat oleh ahli PAS sendiri.

PAS parti yang mahu bertindak berdasarkan nilai moral yang luhur.

Namun perlakuan terhadap Hasan ini menimbulkan sedikit keraguan akan cara hasrat ini hendak dicapai. Jika tidak dibendung segera, nanti rakyat akan persoalkan apakah bezanya PAS dengan parti lain; Umno khususnya -apabila sudah benci pada seseorang ahli, aibkan dia.

------------------------------------------------------

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu. - Malaysiakini

* Bagilah peluang orang lain...

No comments:

Post a Comment