12 December 2011

Rais: Melayu kena contohi Orang Asli kekalkan BN

KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta rakyat negara ini mengenang budi dan jasa pemimpin Barisan Nasional (BN) dengan terus memilih mereka demi mengekalkan kemajuan negara.

Beliau berkata orang Melayu, sebagai kaum terbesar negara, boleh membantu menentukan kerajaan BN terus dipilih pada pilihan raya umum akan datang.

“Orang Melayu adalah kira-kira 60 peratus (daripada populasi negara)... jika mereka bersatu padu, Malaysia akan kekal berada dalam tangan BN,” katanya semasa berucap pada program Merakyatkan Seni Budaya “Sepetang Bersama Komuniti Orang Asli Gombak” di Dataran Bukit Kala, Kampung Bukit Kala, Batu 12, Gombak dekat sini semalam.

Beliau (gambar) juga meminta mereka supaya memberi kerjasama untuk membawa BN mengecapi semula kejayaan pilihan raya umum seperti sebelum 2008.

“Walaupun kita mendapat tempat dalam kerajaan, kita mesti ingat (usaha pemimpin terdahulu) dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan (yang dikuasai pembangkang).” katanya.

Rais berkata orang Melayu harus mencontohi sikap dan pendirian masyarakat Orang Asli yang sentiasa memberi komitmen dan kesetiaan mereka terhadap kerajaan BN.

“Masyarakat Orang Asli mencurahkan taat setia di samping komitmen kepada kerajaan BN dan penglibatan mereka menerusi kerja-kerja amal di kawasan masing-masing.

“Pendirian ini tidak berubah kerana mereka berpegang teguh kepada prinsip ‘sekali menjadi sahabat selamanya menjadi sahabat’,” katanya. - TMI

* Bagus betul fikiran Rais. Disuruh kita jadikan orang asli sebagai idola...

No comments:

Post a Comment