13 November 2011

Tiga beradik dibantu Dr. Rozmey


ALOR SETAR – Kesedihan tiga beradik yatim piatu selepas kehilangan ibu yang maut dalam kemalangan awal pagi kelmarin sedikit terubat apabila mereka diambil sebagai anak angkat oleh seorang pengusaha produk kesihatan terkenal.

Presiden dR. Rozmey Group, Datuk Dr. Che Rozmey Che Din berkata, beliau akan menanggung segala perbelanjaan sara hidup bulanan termasuk belanja sekolah tiga beradik itu.

“Saya berhajat untuk mengambil tiga beradik ini sebagai anak angkat dan perbelanjaan sara hidup setiap bulan akan saya tanggung.

“Sekiranya ketiga-tiga beradik ini cemerlang dalam pelajaran dan mahu melanjutkan pengajian ke universiti, saya juga akan tanggung perbelanjaan untuk menghantar mereka ke sana,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke rumah Abdullah Hassan, 66, bapa saudara kepada tiga beradik yatim piatu iaitu Muhd. Iqmal Roslan, 16; Muhd. Kamil Rizman, 14; dan Muhd. Kamil Radzuan, 13, di Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini semalam.

Ibu mereka, Basarah Saad, 45, yang merupakan Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Tajar di sini, maut akibat dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat susur keluar Behrang, Perak.

Basarah terkorban selepas dia turun dari bas yang dinaikinya untuk membantu mengeluarkan rombongan sekolah yang terperangkap dalam sebuah bas lain yang terbalik. = Kosmo

No comments:

Post a Comment