ISTANBUL 12 Nov. - Pasukan komando Turki menembak mati seorang pemberontak Kurdis yang merampas sebuah feri Turki yang membawa 24 penumpang termasuk krew kapal, awal pagi ini.
Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata, ia sekali gus mengakhiri insiden penuh dramatik selama 12 jam sejurus selepas operasi menyelamat dilancarkan.
Menurut beliau, pemberontak berusia lingkungan 30 tahun itu dipercayai anggota kumpulan yang diharamkan, Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
''Ketika merampas feri berkenaan, pemberontak itu turut membawa bahan letupan," katanya.
Feri Kartepe itu ditawan petang semalam di laut Marmara, berdekatan dengan pulau di mana pemimpin PKK, Abdullah Ocalan dipenjarakan.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Binali Yildirim memberitahu terdapat empat atau lima penjenayah yang menawan feri tersebut.
Bagaimanapun, Mutlu menegaskan kejadian itu melibatkan hanya seorang penjenayah dan semua penumpang serta krew feri terbabit selamat.
Pasukan keselamatan di bawah arahan Menteri Dalam Negeri Idris Naim Sahin kemudiannya membawa feri itu ke pesisir pantai Silivri, selatan Istanbul.
Sementara itu, Yildrim berkata, ketika kejadian, 18 penumpang termasuk lima wanita, empat krew kapal dan dua pelatih berada di atas feri itu.
Media melaporkan, perjalanan bot dan feri antara Istanbul dan Yalova dihentikan sementara selepas insiden itu. - AFP
No comments:
Post a Comment