Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau agak terperanjat kerana program bicara buku elektroniknya yang sepatutnya berlangsung malam tadi dibatalkan.
Katanya,"inilah kali pertama saya dijemput tapi program dibatalkan."
Bagaimanapun beliau menerima keputusan oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu dengan alasan "dia rektor saya."
"Saya ambil sikap, itu keputusan universiti... Memandangkan program tak boleh jalan, tak boleh jalanlah," katanya lagi yang enggan mengulas lanjut.
UIA didakwa melarang Saifuddin berdialog dalam program membincangkan buku Kalau Saya Mahasiswa atas alasan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sedang hangat diperkatakan.
Menurut pegawai khas medianya Fadzmel Fadzil, pembatalan itu dibatalkan pada saat akhir dan berdasarkan maklumat, ia atas arahan Rektor UIA Profesor Datuk Zaleha Kamaruddin.
Saifuddin antara menteri Umno yang melawan arus dengan menyokong AUKU disemak semula ekoran keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur yang memutuskan Seksyen 15(5) sebagai menyalahi perlembagaan dan mencabul kebebasan bersuara.
Seksyen itu membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya.
Beliau juga sebelum ini mengkritik UIA bawah pentadbiran Zaleha yang menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari beberapa hari sebagai pensyarahnya kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment