22 November 2011

Penganjur: Kami dimaklum majlis Saifuddin dibatal atas ‘arahan KPT’

Farhan DarwisNovember 22, 2011KUALA LUMPUR, 22 Nov — Penganjur program bicara buku yang sepatutnya disempurnakan oleh Datuk Saifuddin Abdullah malam tadi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendakwa pihaknya dilayan seolah-olah mengadakan program haram dan difahamkan pembatalan adalah ekoran “arahan” Kementerian Pengajian Tinggi sendiri.

“Auditorium utama diarah dikunci serta-merta. Seolah-olah macam program haram,” kata pengurus program itu Fuad Syazwan Ramli ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Majlis itu berlangsung di kampus induk UIA di Gombak dan sepatutnya menyaksikan program bersembang-sembang antara Datuk Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan pelajar adalah sebahagian daripada program Aikol Festival anjuran Persatuan Pelajar Undang-undang UIA.

Mengikut jadual asal beliau sepatutnya berada di kampus UIA untuk menghadiri majlis membicarakan e-buku beliau bertajuk “Kalau Saya Mahasiswa” sempena festival tersebut.

Menurut Fuad, pengurusan UIA tidak sepatutnya membatalkan program malam tadi dan menangguhkan sehingga isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selesai.

Katanya, program itu sudah diusahakan sejak dua bulan lalu.

“Tidak patut (dibatalkan) kerana ia hanya program biasa. Alasan tidak kukuh. (Penjelasan) hitam putih hanya diperoleh selepas pembantu khas Datuk Saifuddin sendiri yang minta (daripada pengurusan).

“Pegawai hanya memberitahu ini arahan KPT , ya ini yang diberitahu kepada kami. Kami sedang cuba untuk meminta penjelasan daripada rektor sendiri. Semalam beliau (ada) mesyuarat,” kata beliau sambil menambah, pihaknya kecewa kerana persiapan sudah dibuat manakala kelulusan juga telah diperoleh.

“Kami hanya diberitahu (tentang pembatalan) empat jam sebelum program,” kata Fuad sambil menambah, maklumat itu diperoleh ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menambah, beliau mendapat maklumat daripada Nik Ahmad Kamal bahawa pembatalan itu adalah atas arahan rektor universiti.

“Alasan pembatalan ialah kerana isu AUKU sedang hangat diperkatakan,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

The Malaysian Insider berusaha untuk mendapatkan komen pengurusan UIA sejak pagi tadi tetapi masih gagal.

Dalam laporan terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa terkejut dengan pembatalan majlis diskusi e-buku saat-saat akhir, sambil berkata, pusat pengajian tinggi seharusnya menjadi tempat menggalakkan dialog-dialog kritikal.

Presidennya Mohamad Iqbal Ab Wabab berkata, pihaknya juga tertanya-tanya jika Datuk Saifuddin Abdullah selaku penyandang jawatan dalam kerajaan dan ahli Majlis Tertinggi Umno sendiri menghadapi nasib itu, “bagaimana dengan pemimpin-pemimpin lain.”

Sehubungan itu, Mohamad Iqbal berkata, universiti seharusnya membenarkan pendapat yang berlainan dan menghormati pandangan yang berbeza.

Saifuddin, yang popular dengan pendirian progresif menyentuh transformasi politik, kecewa apabila UIA membatalkan program yang sepatutnya beliau jayakan di kampus induk pusat pengajian tinggi itu di Gombak, malam tadi.

Saifuddin juga merupakan antara ahli politik yang lantang menyuarakan pendiriannya berkaitan dengan isu UIA menggantung tugas pensyarah Fakulti Undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari ketika beliau disiasat universiti itu bulan lalu. - TMI

* Menteri baik VS Menteri jahat?

No comments:

Post a Comment