Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata parti itu telah memperoleh permit untuk satu program ceramah pada malam ini, membabitkan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau telah melihat permit berkenaan pada malam tadi dan berharap pihak polis akan terus memberi kerjasama dalam penganjuran siri ceramah PKR seterusnya di seluruh negeri berkenaan, kata Saifuddin kepada pemberita dalam sidang media selepas ucapan dasar presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kongres berkenaan di Johor Bahru.
Tambahnya, PKR telah menerima reaksi berbeza-beza ke atas permohonannya untuk mendapatkan permit bagi mengadakan program berkenaan.
"Kategori pertama polis diam. Kategori kedua, ya dia keluarkan permit macam malam ini (program melibatkan Anwar). semalam saya ditunjukkan permit uuntuk program Datuk Seri diadakan.
"Kategori ketiga, polis secara lisan maklum tak boleh teruskan, tak ada hitam putih," katanya lagi yang menambah, kesemua program berkenaan akan diteruskan.
PKR mengatur program ceramah di 14 kawasan DUN di seluruh negeri Johor sempena kongres nasional parti yang sedang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Mengulas mengenai tindakan polis ke atas enam program ceramah yang dijalankan pada malam semalam, Saifuddin berkata PKR tidak menerima sebarang laporan berhubung gangguan atau tindakan kekerasan ke atas program berkenaan.
"Terbukti perhimpunan itu berjalan dengan elok dan terkawal," katanya lagi yang menyatakan bahawa sambutan rakyat Johor terhadap program berkenaan juga merupakan satu isyarat ke atas penerimaan parti itu di negeri berkenaan.
"Kami tak pernah dapat sokongan begini tujuh tahun dulu tapi kini gambaran biasa... Kita pernah terima isyarat ini di Perak dan Selangor dan kita terima isyarat ini kelihatan dari Johor.
"Maka munasabah tempat kongres parti ini kita pilih di Johor dan serentak dengan itu bukan saja kongres tapi 20 program penerangan serentak setiap malam. Walau kita berdepan halangan di sana sini tapi sambutan sangat baik," katanya lagi. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment