Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
26 November 2011
Aziz Bari muncul di Johor, dakwa BN gagal selesai banyak isu asas
JOHOR BARU, 26 Nov - Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari muncul kali kedua dalam sebulan ini di pentas PKR di Johor dengan menegaskan, kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) telah gagal menyelesaikan banyak isu penting yang sepatutnya sudah lama diatasi.
Berucap pada ceramah di pejabat baru Angkatan Muda Keadilan cabang Gelang Patah dekat sini malam tadi, Aziz yang berhadapan dengan siri kontroversi sejak lebih sebulan lalu memberitahu, berdasarkan usia negara lebih lima dekad, masih banyak perkara yang tidak dapat dijalankan kerana kerajaan mewujudkan peraturan tidak selaras dengan keperluan rakyat.
"Sepatutnya perbincangan berkenaan perkara-perkara seperti Bahasa Kebangsaan, hak Melayu dan Bumiputera serta pengagihan yang adil kepada negeri-negeri sudah lama dapat diselesaikan, kira-kira 20 hingga 30 tahun lepas tetapi kerajaan masih gagal dalam perkara ini," kata beliau lagi.
Awal bulan ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan Aziz, yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) meletakkan jawatan sebagai ahli akademik jika benar-benar mahu bercakap di atas pentas politik.
Justeru katanya, Aziz (gambar) yang sedang disiasat oleh tiga pihak termasuk UIA sendiri berhubung satu kenyataan menyentuh titah Sultan Selangor berkaitan dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas gereja di Damansara Utama, tidak perlu menunggu tindakan universiti tersebut.
Ketika itu Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, beliau sedar Aziz memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana dekat Johor Baru tetapi yakin penduduk tidak akan termakan dengan perkara yang disampaikan.
Terbaru kelmarin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita baginda berhubung dakwaan Aziz kononnya laporan kewangan tahunan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor bebas daripada diaudit.
Aziz sebelum ini berkata beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada ahli-ahli Umno jika parti itu sanggup mempelawanya.
Dalam ceramah malam tadi, Aziz menambah, Parlimen yang sepatutnya menjadi medan perbincangan wakil rakyat untuk membincangkan perihal kekayaan negara juga gagal bertindak kerana mereka tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.
"Kerajaan juga dilihat masih lagi tidak dapat menyelesaikan pembahagiaan kekayaan kerajaan secara adil kepada negeri-negeri, perkara ini sudah selesai sepatutnya," katanya lagi.
Oleh itu, Aziz menggesa perubahan dapat dilaksanakan di peringkat pusat bagi membentuk kerajaan baru dan membolehkan perkara-perkara itu dapat diselesaikan dengan lebih cepat .
"Kita memerlukan kerajaan yang komited untuk menyelesaikan perkara ini, adalah sukar untuk kita menggubal undang-undang sekiranya kita tidak menguasai Parlimen dan tiada perubahan kepimpinan di Putrajaya," katanya.
Aziz turut memuji sikap dan pendirian yang diambil Pakatan Rakyat kerana melalui perjuangan parti itu, rakyat dapat membincangkan perkara ini dengan lebih terbuka dan bebas.
"Saya melihat satu keberanian setelah 54 tahun merdeka, kita kini mampu untuk membincangkan perkara ini dengan lebih terbuka. Ini jelas dilihat melalui perjuangan Pakatan rakyat, kita lebih bebas untuk membincangkan perkara sedemikian," ujarnya. - TMI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment