Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
22 October 2011
Mesin 3D kesan barah payu dara
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) hari ini memperkenalkan mesin pengimejan payu dara tiga dimensi (3D) terkini yang dapat mengesan barah dengan lebih cepat, tepat dan berkesan.
Perunding Radiologi NCSM, Dr. Sulaiman Tamanang berkata, mesin yang dikenali sebagai Tomosintesis 3D itu mampu mengesan barah melalui kepadatan kelanjar tisu susu dalam payu dara.
"Berbeza dengan mesin mamogram dua dimensi (2D) yang biasa digunakan sebelum ini, mesin ini dapat mengesan barah melalui lapisan setebal satu milimeter yang dibahagi kepada setiap payu dara bagi memastikan setiap kelenjar tisu susu diperiksa.
"Melalui cara ini, barah payu dara dapat dikesan dengan cepat dan tepat di samping pandangan visualnya lebih terang supaya pengesanan ketumbuhan barah dapat dilakukan," katanya selepas majlis perasmian mesin tersebut oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang juga Penaung Diraja NCSM. Turut hadir Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan.
Kata Sulaiman, mesin Tomosintesis 3D ini juga menggabungkan pengimejan 2D dan 3D dalam satu mampatan beberapa saat pada dos gabungan sinar X terkawal.
Kaedah ini, katanya, tidak menggunakan tekanan yang kuat pada payu dara bagi mengelakkan rasa kurang selesa pesakit semasa pemeriksaan.
"Apabila pesakit melakukan mamogram 3D ini, peluang dipanggil semula untuk melakukan ujian saringan selepas pemeriksaan amat kecil kerana keputusan yang diperolehi sangat tepat.
"Justeru, kita menyeru golongan wanita melakukan pemeriksaan mamogram 3D bagi memastikan pengesanan awal barah payu dara dapat dibuat," ujarnya.
Orang ramai yang ingin melakukan mamogram Tomosentesis 3D boleh berkunjung ke pejabat NCSM untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment