25 October 2011

Dadah: Warga Jepun ke tali gantung


SHAH ALAM — Seorang bekas jururawat warganegara Jepun menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine atau syabu dua tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Mariko Takeuchi, 37, dari Tokyo, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu didakwa mengedar 3,493 gram Methamphetamine di kaunter pemeriksaan kastam, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.55 malam, 30 Okt 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Siti Mariah mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut peruntukan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

No comments:

Post a Comment