09 September 2011

Penghantaran amah masih beku

NIBONG TEBAL 8 Sept. – Indonesia masih belum menamatkan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia walaupun memorandum persefahaman (MoU) antara dua negara itu sudah dimeterai sejak tiga bulan lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, pengambilan pembantu rumah dari negara jiran itu tidak dapat dilakukan selagi kerajaan Indonesia tidak menarik sepenuhnya pembekuan tersebut.

“Kita sudah tandatangani MoU dengan pemahaman bahawa kerajaan Indonesia akan mengambil langkah pada masa yang sesuai untuk menamatkan pembekuan penghantaran pembantu rumah sejak tahun 2009.

“Di pihak Malaysia, kita sudah menunaikan segala apa yang terkandung dalam perjanjian, kita hanya menunggu Indonesia untuk tamatkan pembekuan ini,” katanya selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan di sini, hari ini.

Subramaniam dan rakan sejawatannya di Indonesia, Muhaimin Iskandar menandatangani MoU pada Mei lalu yang antara lain memuktamadkan penarikan semula pembekuan pembantu rumah negara tersebut ke Malaysia.

Muhaimin selepas majlis menandatangani MoU itu memberitahu, Indonesia memerlukan tempoh dua minggu untuk memastikan urusan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia kelak memenuhi piawaian yang dikehendaki.

Selain menarik balik pembekuan itu, MoU berkenaan turut menetapkan gaji yang perlu dibayar kepada pembantu rumah dari Indonesia pada masa depan bukan lagi RM600 seperti yang dituntut sebelum ini sebaliknya tertakluk pada tuntutan pasaran semasa.

Namun pihak Indonesia akan menentukan bahawa gaji yang bakal ditawarkan majikan Malaysia tidak kurang daripada gaji minimum di Indonesia iaitu sekitar Rp1.2 juta (RM420).

Ditanya mengenai punca Indonesia belum menamatkan pembekuan tersebut, Subramaniam berkata:

‘‘Saya tidak boleh jawab soalan itu, saya hanya boleh katakan bahawa kita (Malaysia) sudah melakukan apa yang perlu mengikut perkara yang dipersetujui.”

Tambah beliau, jawatankuasa bersama yang diwujudkan dua negara juga masih berfungsi bagi menangani sebarang masalah berbangkit berhubung isu pembantu rumah.

‘‘Kita tidak boleh menjangka apa-apa pada masa ini tapi kita harap pembekuan itu dapat ditarik semula secepat mungkin,” ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment