23 September 2011

Melaka lancar perang habis-habisan gempur pusat judi haram

MELAKA 22 Sept. - Kerajaan negeri hari ini mengambil keputusan melancarkan perang habis-habisan untuk menggempur premis dan pengusaha pusat judi berkomputer secara haram.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mengarahkan semua agensi terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis untuk melakukan operasi bersama membanteras kegiatan itu daripada terus merosakkan nama Melaka.

''Saya mahu pengusaha terbabit diambil tindakan undang-undang dan premis yang menjalankan kegiatan perjudian berkomputer itu disita serta seluruh peralatan mesti dirampas.

''Tindakan perlu diambil segera oleh agensi terlibat kerana saya tidak mahu melihat kegiatan perjudian ini terus berleluasa di negeri ini.

''Saya juga mahu TNB dan SAMB memotong bekalan air dan elektrik ke atas premis yang menjalankan kegiatan haram ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai keresahan penduduk kerana pusat perjudian haram yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan beroperasi tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Pengusaha premis perjudian berkenaan pula semakin rakus mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka berjaya menarik minat ramai pelanggan berpendapatan rendah, golongan belia, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Mohd. Ali menegaskan, sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan perlu dihalang dan jika tidak, sudah pasti generasi muda dan golongan belia akan hancur dan negara sendiri akan musnah.

Menurutnya, kerajaan negeri mengetahui mengenai kewujudan banyak pusat perjudian yang semakin berleluasa hasil daripada maklumat orang ramai.

''Pada mesyuarat Exco minggu lalu, saya telah arahkan PBT mengambil tindakan membuat serbuan dan menutup premis ini," ujarnya.

Beliau berkata, serbuan itu perlu dipertingkatkan lagi dengan penglibatan semua pihak untuk memastikan kewujudan pusat-pusat perjudian berkomputer itu dihapuskan terus daripada beroperasi.

Tanpa mahu menyalahkan mana-mana pihak beliau meminta, semua yang terlibat berganding bahu dan bekerjasama menggempur mana-mana premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai memaklumkan kegiatan itu kepada PBT atau polis. - Utusan

* Orang bising baru hendak bertindak. Nanti senyap dia pun tidak buat apa-apa...

No comments:

Post a Comment