27 August 2011

Saksi terus pertikai ujian DNA


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sejak semalam, saksi pembelaan keempat, Dr. Brian Mcdonald yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dua ahli kimia tempatan, tidak putus-putus mempertikaikan laporan dan ujian yang dilakukan oleh kedua-dua pakar tersebut.

Pada prosiding hari ini, beliau yang merupakan perunding Molecular Genetic System, Australia terus mempertikaikan ujian-ujian yang dilakukan oleh Dr. Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon dengan memberi gambaran bahawa ujian dan laporan yang dibuat oleh mereka tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak mengikut aturan yang sepatutnya.

Bagaimanapun, apabila diminta oleh peguam bela, Ramkarpal Singh untuk menunjukkan satu contoh hasil ujian DNA yang boleh dianggap elok dan bersih tanpa dipengaruhi oleh sebarang bakteria atau unsur-unsur lain, pakar asing itu memberikan tiga contoh.

Contoh-contoh elektroferograf tersebut membabitkan ujian yang dibuat pada calitan putik kapas bertanda B7 dan B8 yang diambil pada bahagian atas rektum Mohd. Saiful Bukhari Azlan serta calitan putik kapas B9 yang diambil dari bahagian bawah rektum mangsa.

Pada perbicaraan peringkat pendakwaan sebelum ini, Lay Hong mengesahkan terdapat kehadiran air mani yang mana Lelaki Y merupakan penyumbang utama pada bahagian-bahagian tersebut manakala Nor Aidora dalam keterangannya sebelum ini menyatakan, penyumbang DNA tersebut adalah serupa dengan DNA Anwar.

Namun begitu, ‘kebersihan’ ujian DNA ini, didakwa Ramkarpal sebagai tidak konsisten dengan keterangan-keterangan sebelum ini yang sepatutnya menunjukkan tanda-tanda degradasi disebabkan sampel-sampel tersebut tidak disejuk beku sebelum dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia.

Barisan pembelaan dalam siri soalan yang diajukan kepada saksi tersebut turut cuba menunjukkan bahawa ujian-ujian yang dibuat oleh Lay Hong adalah berdasarkan anggapan (assumption) bahawa calitan-calitan itu adalah sampel air mani yang mengandungi sperma Anwar sedangkan ujian awal bagi menentukan bahawa sampel tersebut benar-benar air mani tidak dilakukan.

Ramkarpal dalam soalannya yang turut dipersetujui oleh Mcdonald turut menyatakan ekoran proses pengasingan antara sel sperma dan sel-sel badan yang lain tidak dilakukan dengan betul, berkemungkinan DNA Mohd. Saiful Bukhari yang ditemui dalam rektumnya boleh berasal dari air mani mangsa itu sendiri.

Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Sementara itu, pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira dipanggil semula oleh pihak pembelaan bagi mengesahkan mengenai dokumen ‘Rekod Pemeriksaan Jabatan Kecemasan Pusrawi’ yang dirampas oleh pihak polis pada 6 Ogos 2008.

Rekod tersebut diisi oleh bekas doktor hospital terbabit, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid sewaktu membuat pemeriksaan ke atas Mohd. Saiful Bukhari sebelum meminta mangsa ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan lanjut dan membuat laporan polis selepas dimaklumkan bahawa dia telah diliwat oleh orang kenamaan (VIP).

Dokumen tersebut kemudian diterima masuk oleh mahkamah sebagai bukti.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung 19 hingga 23 September ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment