27 August 2011

Bukti pembunuhan beramai-ramai di Libya

TRIPOLI 26 Ogos - Sebanyak 26 tawanan di bilik tahanan sementara di apartmen bertentangan kawasan kediaman Muammar Gaddafi di Bab al-Aziziya, hanya mampu mendengar bunyi pertempuran antara pemberontak dengan askar yang setia kepada pemimpin Libya itu semasa Tripoli digempur, Selasa lalu.

Ketika kebanyakan rakyat Libya lain bergembira dengan kejayaan pemberontak menewaskan tentera Gaddafi, tahanan di apartmen buruk berkenaan termasuk Osama Mansour el-Hadi hanya menanti untuk dibunuh.

Mereka diarak ke sebuah jalan di Bab al-Aziziya dengan senjata diacu oleh askar Gaddafi dan dibariskan di sebuah tembok ketika bunyi mesingan dan letupan kedengaran dari arah pertempuran di seberang jalan berkenaan.

Askar Gaddafi kemudian melepaskan tembakan ke arah kepala, leher dan dada semua 26 tahanan berkenaan.

Osama jatuh di atas mayat tahanan lain selepas ditembak di badan, bahu, tangan manakala seorang tahanan berjaya melarikan diri tetapi kemudiannya ditembak.

Osama ditemui sehari kemudian dan dibawa ke Hospital Mitiga di sini namun sehingga hari ini tiada siasatan dilakukan terhadap kejadian itu.

Mayat 15 tahanan lain pula ditempatkan di tempat letak kereta hospital yang berbumbung besi dan hanya ditutup dengan sehelai plastik.

Osama ketika bercakap kepada saluran televisyen Al-Jazeera semalam berkata, hanya dia seorang yang selamat daripada pembunuhan besar-besaran berkenaan.

Beliau ditangkap pada 15 Ogos lalu, iaitu lima hari selepas pemberontakan bermula di Badr, oleh 15 orang lelaki bersenjata dan ditempatkan di bilik tahanan itu walaupun berulang kali menyatakan beliau bukan anggota pemberontak.

Katanya, tahanan lain ditahan lebih lama daripada dua minggu dan kebanyakan mereka mendakwa merupakan orang awam yang ditahan di jalan-jalan raya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment