18 August 2011

Polis tubuh pasukan petugas siasat serangan asid

KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan petugas dianggotai pegawai polis dari Kuala Lumpur dan Selangor, telah dibentuk untuk mengumpul maklumat dan menjejaki penjenayah yang terlibat dalam kes serangan asid terbaru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin hari ini berkata, polis sedang berusaha habis-habisan untuk menahan penjenayah berkenaan dan menyelesaikan kes itu dengan secepat mungkin. Polis Kuala Lumpur telah mengedarkan imej komposit seorang daripada suspek kepada media semalam. Mohd Bakri bagaimanapun menolak spekulasi bahawa serangan terbaru itu mempunyai kaitan dengan penyimbah asid bersiri yang telah mencederakan beberapa mangsa sejak Mac tahun ini.

"Kami ada alasan kukuh untuk mempercayai bahawa jenayah ini tidak mempunyai kaitan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek supaya tampil membantu polis.

Satu daripada kes berkenaan melibatkan seorang penghantar surat yang disimbah cairan dipercayai asid di sebuah stesen minyak di Sungai Besi sebelum dirompak RM18,000 pada 26 Julai.
Satu lagi kejadian berlaku di sebuah tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya di Jalan Raja Laut pada 8 Ogos di mana seorang pemuda berusia 27 tahun disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang daripada sekumpulan tiga pemuda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment