MELAKA – Kakitangan awam mahupun swasta yang menerima hadiah atau hamper pada musim perayaan Aidilfitri yang mereka ada berurusan rasmi dengan pemberi, diminta melapor dan mengisytiharkan pemberian itu kepada ketua jabatan masing-masing.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan berkata, sebaik-baiknya mereka yang berurusan rasmi dengan pemberi hamper atau hadiah menolaknya bagi mengelakkan unsur salah guna kuasa.
”Pemberi hamper ini selalunya mereka yang mempunyai urusan rasmi kerana kalau tidak mereka tidak akan beri, kita tidak mahu kerana hadiah itu kelak ada unsur-unsur salah guna kuasa atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti ke Arah Transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau adalah salah seorang panel forum itu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut dihadiri lebih 100 orang termasuk ketua dan kakitangan awam negeri ini.
Menurutnya, ketua jabatan akan menentukan sama ada pegawai atau kakitangan terbabit boleh menerima hamper atau hadiah itu atau dikembalikan kepada pemberi. – Bernama
No comments:
Post a Comment