30 August 2011

Penjenayah ganas makan tak bayar


KUALA LUMPUR: Empat lelaki berusia 30-an yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi, samun, rogol dan pengedaran dadah sejak awal tahun ini ditahan polis di Jalan Maarof, di sini.

Tangkapan dilakukan pada jam kira-kira 11.30 malam, Jumaat lalu, selepas polis menerima aduan seorang pelayan restoran berusia 26 tahun yang diancam dengan pisau oleh seorang daripada suspek, sejam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata sebelum itu pengadu mengejar dua daripada suspek yang makan di restoran berkenaan selepas mereka meninggalkan pelayan premis itu tanpa membuat bayaran.

Bagaimanapun, ketika dihampiri, seorang daripada suspek mengeluarkan pisau sambil mengugut pengadu sebelum menyerahkan telefon bimbit kepadanya.

“Selepas mendapat aduan, polis membuat rondaan di sekitar Jalan Maarof di sini dan menangkap semua suspek.

“Pemeriksaan polis mendapati tiga suspek berasal dari Kangar, Perlis, serta seorang lagi beralamat di Ampang. Masing-masing mempunyai rekod jenayah bersabit pelbagai kesalahan termasuk curi, rogol dan dadah,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Selain itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati semua mereka positif dadah dan akan direman sehingga hari ini.

Menurut Wan Abdul Bari, berikutan tangkapan itu, polis juga menemui sebuah Proton Waja, peralatan menghisap dadah, satu set kunci kereta serta sepucuk pistol tiruan.

Katanya, semua suspek dipercayai terbabit 15 kes jenayah di Brickfields sejak awal tahun ini dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Nigeria berusia 29 tahun yang menetap di negara ini sejak empat bulan lalu, ditahan selepas polis menemui dadah jenis kanabis seberat 8355 gram bernilai kira-kira RM15,000 di sebuah kondominium di Sri Petaling, di sini, Sabtu lalu.

Wan Abdul Bari berkata, polis yang mendapat maklumat orang ramai membuat serbuan pada jam kira-kira 12.15 tengah malam ke rumah suspek sebelum menemui dadah berkenaan dalam satu bagasi dan sebuah beg.

“Suspek yang mempunyai dokumen sah untuk masuk ke negara ini kini direman sehingga 2 September,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment