Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
23 August 2011
‘Pelanggan’ tembak penyamun
PETALING JAYA: Seorang lelaki mati manakala rakannya parah ditembak anggota polis ketika kedua-dua mereka cuba menyamun sebuah pusat siber di Kampung Baru, Sungai Buloh, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 20-an dan 30-an memasuki premis berkenaan dengan bersenjatakan pistol serta sabit. “Tanpa menyedari dua daripada tiga pelanggan di dalam premis berkenaan anggota polis yang membuat intipan, suspek mengacukan senjata ke arah pekerja pusat berkenaan dan meminta mereka menyerahkan wang.
“Bagaimanapun, dua anggota polis terbabit memperkenalkan diri mereka dan mengarahkan dua suspek menyerah diri,” katanya.
Menurutnya, terkejut dengan kehadiran anggota polis itu, suspek mengugut untuk melepaskan tembakan sekiranya anggota itu tidak mengundurkan diri.
“Polis melepaskan beberapa das tembakan berikutan keengganan suspek menyerah diri serta tindakan berbahaya mereka yang mengancam keselamatan awam,” katanya.
Difahamkan, seorang daripada suspek mati di tempat kejadian manakala suspek yang cedera meloloskan diri dan dikesan di Damansara Damai sejam kemudian sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Tun Hisan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan bekerja sebagai pegawai keselamatan.
“Kami percaya ada suspek lain bersubahat berikutan penemuan suspek yang cedera di Damansara Damai dan gerakan memburu masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata,” katanya. - Mymetro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment