Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
21 August 2011
Panel khas: Jangan ragui keikhlasan kerajaan, kata Najib
Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur petang tadi. — Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 21 Ogos — Datuk Seri Najib Razak meminta pihak-pihak yang mempertikaikan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya agar tidak meragui keikhlasan kerajaan meskipun kemungkinan pilihan raya umum ke-13 diadakan lebih awal.
“Kami komited ke arah pembaharuan pilihan raya,” kata Perdana Menteri selepas melancarkan Kedai Rakyat 1 Malaysia di Bandar Tun Razak di sini.
“Apa yang saya katakan ialah tarikh pilihan raya adalah prerogatif kami. Jangan ragui keikhlasan kami ke arah pembaharuan pilihan raya,” katanya lagi.
Semalam, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata partinya mungkin tidak akan menyertai jawatankuasa pilihan khas berikutan sikap tidak ikhlas kerajaan yang semakin jelas.
Salahuddin berkata kenyataan Najib kelmarin telah membunuh “minat” pihaknya ke atas jawatankuasa pilihan khas yang hendak ditubuhkan Oktober ini.
Sebaliknya PAS, kata beliau, akan terus berpegang kepada pendirian supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.
“Walaupun sebelum ini PAS amat berhati-hati untuk memberikan sebarang komitmen kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang dicadangkan oleh Najib itu, tetapi kenyataan terbaru Najib telah membunuh minat kami untuk memberikan perhatian kepada jawatankuasa tersebut,” kata Salahuddin.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw mempersoalkan ikhlasan Najib mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut.
Bersih 2.0 juga menggesa pilihan raya umum ke-13 tidak wajar diadakan selagi syor-syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan sistem pilihan raya tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pakatan Rakyat akan membuat keputusan Rabu ini sama ada mahu menyertai jawatankuasa pilihan khas itu ataupun sebaliknya.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.
Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. - TMI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment