29 August 2011

Mati di riba rakan

BINTULU: “Pilu hati saya apabila melihat sendiri bagaimana dia dirempuh sebuah kereta sebelum digilis pula bas ekspres. Saya sempat memangku dan mengajarnya mengucap kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”

Demikian kata Nizam Isyak, 26, ketika menceritakan kemalangan yang meragut nyawa rakan baiknya Mohammad Yusuf Sukarno, 24, dalam kejadian langgar lari di Kilometer 5, Jalan Tatau-Bintulu, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa dan Nizam serta seorang lagi rakan yang menunggang motosikal berasingan dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Baru, Spaoh di Saratok, sebelum mangsa dirempuh kereta Toyota Vios dari arah bertentangan, kira-kira jam 11 pagi. Nizam berkata, dia terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari arah belakang dan terus memberhentikan motosikal sebelum melihat arwah terbaring di atas jalan raya.

“Saya lihat arwah cuba bangun semula, tetapi tiba-tiba sebuah bas yang datang dari arah belakang gagal mengelak sebelum merempuh dan menggilis tubuhnya.

“Saya segera berpatah balik dan mendapatkannya yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah yang keluar dari mulut dan telinga serta terus memangkunya dan mendapati dia sudah ‘tiada’,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka bertiga bekerja sebagai pemasang sistem pendawaian di Bintulu dan sebelum bertolak pulang ke kampung kira-kira jam 9 pagi semalam, arwah ada berpesan supaya mereka tidak menunggang dengan laju atau bersaing bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Malah, arwah juga tidak mahu kami mengikuti dalam jarak dekat antara satu sama lain kerana boleh mendedahkan mereka kepada kemalangan ketika menunggang motosikal.

“Apa yang paling saya tidak dapat lupakan, arwah mengakui memang tidak sabar hendak pulang ke kampung kerana sudah lama tidak bertemu ibu dan bapanya selain mahu membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri,” katanya sebak.

Difahamkan, motosikal mangsa dirempuh Toyota Vios berwarna perak dan datang dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kenderaan lain.

Kenderaan terbabit dipercayai dipandu laju kerana sedang menuruni laluan berbukit ketika memotong menyebabkan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggangi mangsa yang kemudian terpelanting di tengah jalan raya.

Sementara itu, jurucakap dari Balai Polis Tatau mengesahkan kejadian berkenaan sebagai kes langgar lari dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasatan sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut. - Mymetro

* Sokong haramkan motosikal kecil ( pembunuh no1 Malaysia ) dalam masa yang sama turunkan harga kereta dan minyak supaya rakyat mampu menggunakan kenderaan beroda 4 itu...

No comments:

Post a Comment