01 August 2011

Mangsa ragut: Kakak sudah sedar, adik masih koma

KUALA TERENGGANU 1 Ogos – Seorang daripada dua beradik perempuan mangsa ragut yang terlibat dalam kemalangan pagi semalam kini sudah sedarkan diri, manakala adiknya masih berada dalam keadaan koma.

Bapa mereka, Malik Ngah, 58, berkata, anaknya Maleha, 24, yang hampir putus tangan dan luka di badan telah mula sedarkan diri setelah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam.

Bagaimanapun katanya, adik kepada Maleha, Maizatul Akmal, 22, masih koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital yang sama.

"Laporan polis masih belum dibuat kerana kita nak tunggu dulu cerita dari Maleha. Sekarang dia masih lemah dan doktor nasihatkan dia supaya tidak banyak bercakap,” kata Malik kepada pemberita di hospital berkenaan.

Kejadian ragut tersebut berlaku apabila kedua-dua beradik itu yang bermotosikal dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Kompleks Sri Iman dekat sini untuk mengambil Wang Dana Bakti Remaja telah diragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi semalam itu, dua beradik itu dipercayai bertindak nekad mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka, namun motosikal mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Kamaruddin di sini. – Bernama

No comments:

Post a Comment