07 June 2011

MP: Salah guna duit rakyat bagi risik kahwin anak


Penggunaan duit rakyat atau dana awam bagi membiayai lawatan Perdana Menteri dan rombongannya ketika merisik perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Kazakhstan adalah salah dari segi moral, kata ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi.

"Ini pula bukan pertama kali. Semasa anaknya menerima ijazah di Universiti Georgetown, Washington, Amerika dia dan keluarga juga ke sana dengan program rasmi kerajaan.

"Saya bimbang ia menjadi rujukan pemimpin bawahan beliau sebagaimana bidalan Melayu, bapa kencing berdiri anak kencing berlari," katanya.

Menurut pemimpin PAS itu, tidak menjadi kesalahan bagi perdana menteri merisik perkahwinan anaknya di Kazakhstan tetapi Najib sepatutnya mengambil cuti rasmi dan tidak membelanjakan dana awam.

Nooryana Najwa dijadualkan berkahwin dengan seorang pembesar kerajaan Kazakhstan.

Dalam sejarah Islam, kata Dzulkefly, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mempunyai dua batang lilin berlainan yang ditempatkan di sisi katilnya.

Guna duit sendiri

Jika baginda dikejutkan pada waktu malam kerana urusan rakyat, Khalifah Umar akan menyalakan lilin yang dibeli dari dana awam. Sebaliknya jika dikejutkan oleh kawan-kawan atau ahli keluarganya untuk membincangkan hal peribadi, baginda menggunakan lilin yang dibeli melalui wangnya sendiri.

"Mana pergi good governance, intergriti kepimpinan dan ini akan menghakis keyakinan rakyat kepada beliau," kata Dzulkefly.

Menurut beliau jika Najib dan isterinya, Datin Seri Rosnah Mansor benar-benar bertanggungjawab, mereka berdua akan menyusun jadual cutinya untuk kepentingan keluarga dan peribadinya bukannya mengambil kesempatan atas urusan kerajaan.

"Hentikanlah, cukuplah tu.....susunlah cuti dengan baik, guna duit sendiri untuk lunas tanggungjawab kepada anak dan keluarga, inilah mulanya penyelewengan....bila kepimppinan tertinggi tunjukkan sikap hodoh dan buruk," katanya sambil menambah perbuatan mereka itu sebagai langkah yang 'tidak ada kelas langsung'.

Sebelum ini, di Dewan Rakyat pernah dibangkitkan perbelanjaan besar yang dibuat oleh Rosmah.

"Dari segi moralnya ia sangat salah," kata Dzulkefly.

Sementara itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Najib supaya telus dan tidak mengambil kesempatan di atas urusan rasmi untuk sebarang urusan peribadi apatah lagi apabila menggunakan wang kerajaan yang juga wang rakyat.

"Kalau benda (dakwaan) ini betul kenapa Najib nak rahsiakan? Beliau kena cakap terus teranglah. Kalau betul beliau ke sana atas urusan peribadi janganlah guna harta kerajaan dan harta rakyat. Jangan berselindung di sebalik lawatan rasmi.

"Kalau betul anaknya akan berkahwin dengan anak pembesar Kazakhstan saya ucapkan tahniah tapi gunalah duit sendiri yang sudah banyak tu..tak payahlah guna duit rakyat.," kata beliau kepada Harakahdaily. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment