07 June 2011

Kazakhstan rakan strategik utama - Najib

ASTANA, Kazakhstan 6 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia sentiasa melihat Kazakhstan sebagai rakan strategik utama negara di rantau Asia Tengah.

Beliau yakin hubungan setia kawan dan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua buah negara itu akan terus meningkat pada masa akan datang.

Meskipun begitu, beliau melihat masih terdapat banyak lagi potensi dan peluang yang belum lagi diterokai dalam hubungan dua hala itu.

"Kepentingan bersama kita ialah untuk meningkatkan lagi tahap pembangunan kerjasama sosioekonomi melalui tawaran peluang-peluang untuk mengukuh dan meluaskan lagi kerjasama dan kolaborasi dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan juga pembangunan modal insan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar bersama dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev di Presidential Palace selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan dengannya.

Sebelum itu, Najib mengadakan perbincangan empat mata dengan Perdana Menteri Kazakhstan, Karim Massimov.

Najib percaya hubungan dagang Malaysia-Kazakhstan akan terus meningkat ekoran suasana ekonomi global yang semakin positif itu.

Dalam semangat memupuk kerjasama di kalangan negara-negara membangun dan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), katanya, Malaysia komited untuk berkongsi pengalaman dan menghulurkan bantuan teknikal kepada Kazakhstan.

Selain daripada mengukuhkan lagi hubungan dua hala, Perdana Menteri berkata: "Kita juga perlu bekerjasama dan kolaborasi lebih rapat untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dunia semasa yang semakin kompleks."

Dalam hal ini, katanya, Malaysia dan Kazakhstan berkongsi pandangan yang sama berhubung banyak isu antarabangsa dan serantau terutamanya isu keselamatan global dan keamanan sejagat.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan penduduk Kazakhstan yang menjadi tuan rumah kepada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF).

Katanya, sejak penubuhannya pada tahun 2005, forum itu telah menjadi platform untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan bisnes di kalangan usahawan Muslim dan syarikat-syarikat di dalam OIC.

Presiden Kazakhstan pula percaya jalinan kerjasama Malaysia dan negara itu akan terus meningkat.

Katanya, pelbagai isu berhubung kepentingan bersama disentuh. - UTUSAN

* Kata bisnes bukan main nak rak, bila minta kebajikan untuk rakyat, kata duit tak ada...

No comments:

Post a Comment