ALOR SETAR 16 Mei – Seorang tukang perabot dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang wanita Indonesia di Sungai Petani dekat sini, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A. Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Boon Thai, 38, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, setelah didapati bersalah membunuh Ismianti berusia dalam lingkungan 30-an.
Hakim Zamani dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata selain mereka-reka cerita bahawa dia membantu mangsa yang kononnya cuba dibunuh oleh seorang lelaki Melayu mirip Cina di dalam bilik tersebut.
“Kenapa perlu tertuduh membuang kunci bilik dan apa keperluan dia menjual dua unit telefon bimbit milik mangsa. Tertuduh yang turut cedera di jari menipu doktor yang merawatnya bahawa dia terjatuh motosikal,’’ kata beliau.
Menurut Hakim Zamani, hasil laporan asid deoksiribonukleik (DNA) tidak menunjukkan kaitan penglibatan lelaki yang dikatakan dilihat oleh tertuduh dalam bilik itu.
Sebaliknya, ujar Zamani, terdapat darah tertuduh dan darah mangsa di beberapa tempat dalam bilik termasuk pada suis lampu dan tuala.
Tertuduh didakwa membunuh Ismianti di sebuah bilik di rumah tumpangan, SP Rilexs House No. B 25 Jalan Sejati 3/1, Taman Sejati Indah, Sungai Petani antara pukul 7.45 dan 8.40 malam pada 7 Jun 2005.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Dave Kumarendra.
Dia ditangkap pada 9 Jun 2005 setelah majikannya yang berada di Kuala Lumpur memberitahu, bilik tersebut tidak dihuni olehnya, tetapi diduduki pekerjanya.
Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada masalah kewangan dihadapi oleh tertuduh. - Utusan
No comments:
Post a Comment